Dua rumah musnah, empat rumah terbakar 30 peratus

Dua rumah musnah, empat rumah terbakar 30 peratus

Tawau: Dua rumah musnah manakala empat rumah lagi terbakar 30 peratus dalam kebakaran di Lorong Haji Sundu, Batu 2, Jalan Apas, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu jam 9.37 pagi sebelum pasukan dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera bersama anggota di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan enam rumah.

“Dua daripada rumah musnah terbakar manakala, empat lagi rumah hanya 30 peratus terbakar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tindakan pantas anggota bomba memadam kebakaran berjaya menyelamatkan sebuah masjid dan kereta daripada musnah.

“Setakat ini, tiada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku, namun terdapat seorang mangsa pengsan dan telah dibawa ke hospital.

“Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya jam 11.10 pagi,” katanya.

Julius berkata, pasukan forensik akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota Bomba Komuniti Titingan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|