Saringan kesihatan PeKa B40 bukan untuk kepentingan politik – Christina Liew

Saringan kesihatan PeKa B40 bukan untuk kepentingan politik – Christina Liew

Tawau: Program saringan kesihatan PeKa B40 adalah tanda keprihatinan kepada rakyat, bukan untuk kepentingan politik.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew berkata, program itu adalah inisiatif bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, program itu bukan gimik politik untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sebaliknya tanggungjawab pemimpin bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Saya berharap penduduk di daerah ini tidak beranggapan program ini berunsurkan politik, sebaliknya cuba ambil kesempatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Saya sentiasa mengambil berat soal kepentingan rakyat terutamanya penduduk di Tawau dan kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja sekiranya ia untuk kebaikan semua,” katanya pada Program Saringan Kesihatan PeKa B40, di sini, hari ini.

Program itu katanya, dirancang sejak dua minggu lalu dan mendapat kerjasama Permai Polyclinics.

Beliau berkata, tumpuan PeKa B40 ialah saringan penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis dan kolestrol.

“Kita berharap penduduk terutama golongan ibu segera membuat pemeriksaan kesihatan berkala kerana mereka adalah tunjang keluarga,” katanya.

Katanya, program kesihatan di peringkat kampung juga akan diusahakan kerana masih ramai penduduk yang sukar ke bandar untuk melakujan saringan kesihatan.

Beliau berkata, ia berdasarkan maklum balas penduduk di kawasan kampung yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik.

“Justeru, kami bercadang untuk melaksanakannya di kawasan Balung atau Apas supaya lebih ramai penduduk yang mendapat pemeriksaan secara percuma,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan sentiasa mengadakan program pemeriksaan kesihatan secara percuma di seluruh negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|