Dua mayat terakhir mangsa bot karam ditemui

Semporna: Dua mangsa terakhir yang dilaporkan hilang akibat kejadian bot karam ditemui meninggal dunia di perairan Kampung Tandoan, di sini, awal pagi tadi.

Mayat Noranis Harimalam, 14, dan seorang lagi dikenali sebagai Aiman, 6, ditemui pada jam 7.50 pagi.

Pasukan keselamatan membawa mayat mangsa bot karam yang ditemui di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata, Semporna.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, kedua-dua mangsa itu dijumpai di lokasi yang sama.

“Pasukan keselamatan dalam perjalanan ke Jeti Guru untuk mengambil mangsa.

“Mangsa ditemui dalam keadaan bersama oleh penduduk kampung di perairan Tandoan iaitu berhampiran Pulau Timbun Mata,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Dalam kejadian Khamis lalu, bot yang dinaiki 21 penumpang karam selepas dipukul ombak dan terbalik.

Akibat kejadian itu, lima mangsa ditemui mati lemas, manakala 14 lagi selamat dan dua dilaporkan hilang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|