Dua kes samun dalam tempoh empat jam

Dua kes samun dalam tempoh empat jam

Kota Kinabalu: Seorang lelaki kerugian kira-kira RM18,000 selepas disamun sekumpulan lelaki dalam kejadian di tempat letak kereta di sebuah pusat hiburan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa bersama rakannya dikatakan sedang berjalan menuju ke keretanya selepas berhibur.

Bagaimanapun, mereka tiba-tiba didatangi sekumpulan lelaki yang terus bertindak memukul mangsa dan rakannya menggunakan botol kaca.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, akibat daripada kejadian itu, mangsa berusia 45 tahun terbabit cedera di muka, mata dan telinga.

Katanya, kumpulan suspek kemudiannya meragut rantai emas yang dipakai suspek sebelum melarikan diri.

“Siasatan awal, suspek mengadu tidak mengetahui jumlah suspek yang terlibat dan bagaimanapun suspek meninggalkan tempat kejadian.

“Kedua-dua mangsa terus ke Balai Polis Penampang untuk membuat laporan kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pelajar berusia 19 tahun cedera selepas disamun seorang lelaki ketika menunggu kenderaan di Api-Api Centre, di sini.

Mohd Zaidi berkata, dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa kerugian wang tunai sebanyak RM70 selain dokumen peribadinya turut dilarikan.

Katanya, ketika kejadian mangsa cuba melawan namun suspek bertindak agresif dan menyerang mangsa menggunakan benda tajam.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka di leher manakala suspek pula dilihat melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan Perodua Viva berwarna hitam dengan nombor pendaftaran SAA8435B.

“Bagaimanapun, semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan adalah palsu,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan berjaya dilakukan dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi memohon saksi kejadian supaya tampil membantu menyalurkan maklumat.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamed Anwar Mohamed Jamil ditalian 013-4274631 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|