Sambil berpolitik, jangan lupa tugas hakiki seorang guru – Mohamad Alamin

Sambil berpolitik, jangan lupa tugas hakiki seorang guru – Mohamad Alamin

Kota Kinabalu: Kebenaran guru untuk berpolitik disambut baik namun tugas hakiki sebagai tenaga pengajar tidak harus dilupakan.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, di sebalik berpolitik, mereka perlu memberi keutamaan terhadap pencapaian akademik pelajar dan murid terlebih dahulu.

Mohamad menerima cenderahati daripada Pengarah IPG Kampus Gaya, Dr Gerturudee Jock.

Katanya, walaupun tiada sebarang garis panduan dikeluarkan mengenai perkara itu tapi semua guru tahu syarat-syarat yang pernah dikuatkuasakan.

“Semalam kita sama-sama melihat kenyataan dibuat Perdana Menteri yang menyatakan guru-guru kini dibenarkan berpolitik tetapi masih kekal dengan peraturan semasa jabatan atau kementerian masing-masing.

“Pertamanya, kita berterima kasih dan selaku Timbalan Menteri saya amat gembira kerana kenyataan Perdana Menteri benarkan guru berpolitik,” katanya ditemui ketika lawatan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, apa yang menjadi kerisauan beliau sendiri adalah jika guru-guru terbabit melanggar syarat.

“Orang kata dia lebih berpolitik daripada bertugas, jadi ini menjadi kerisauan kita dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Jadi saya mengingatkan kepada guru-guru, boleh berpolitik tapi ingat tugas hakiki seorang guru, jangan pernah dipinggirkan. InsyaAllah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, tujuan lawatannya ke negeri ini adalah bagi melihat sendiri isu-isu berkaitan kementeriannya.

Katanya, pihaknya sering menerima banyak aduan atau perkara yang perlu diteliti dan diberikan keutamaan mengikut keperluan.

“Sebagai contoh Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, di sini, yang sudah diluluskan tetapi belum dapat dilaksanakan kerana berdepan masalah tanah.

“Jadi tanah untuk tapak baru SK Rampayan sudahpun kita perolehi, iaitu di atas tanah rizab pendidikan seluas 50 ekar yang terletak di kawasan Kingfisher, di sini.

“SK Rampayan akan dibina di tanah itu membabitkan nilai RM65 juta dan segala urusan teknikal akan diselesaikan bagi mempercepatkan pembinaannya,” katanya.

Mohamad berkata, banyak lagi perkara lain yang perlu diperhalusi termasuk rancangan penambahan tenaga pengajar di sekolah-sekolah di negeri ini.

“Memang ini antara satu keutamaan KPM untuk menambah bilangan guru di mana negeri yang kurang.

“Ia bukan saja di Sabah, malah begitu juga di beberapa negeri lain seperti Sarawak dan Johor,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|