Balai Bomba MOSAR Gunung Kinabalu siap sedia berkhidmat di altitud paling tinggi Malaysia

Balai Bomba MOSAR Gunung Kinabalu siap sedia berkhidmat di altitud paling tinggi Malaysia

Ranau: Jika Pos Malaysia mempunyai peti pos tertinggi di Malaysia di Panalaban, Gunung Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak lama lagi bakal mempunyai balai bomba yang mungkin terletak di lokasi paling tinggi di dunia.

Dengan ketinggian lebih 3,382.2 meter dari paras laut, balai bomba atau tepatnya Pusat Operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat (MOSAR) itu bakal diwujudkan di bangunan bekas asrama penginapan di Gunting Lagadan Hut, Gunung Kinabalu yang kini dikosongkan selepas gempa bumi pada 2015.

Pegawai dan anggota termasuk pasukan MOSAR serta pegawai TTS meninjau lokasi pusat operasi MOSAR yang bakal diwujudkan di bangunan bekas penginapan di Gunting Lagadan Hut, Gunung Kinabalu.

Apabila beroperasi kelak, ia bakal menjadi satu-satunya balai bomba di kawasan altitud tinggi di Malaysia, sekali gus melakar sejarah sebagai pusat operasi menyelamat di gunung yang pertama di dunia dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan.

Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan berkata, sejak MOSAR ditubuhkan pada 2015 lalu, susulan insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015, tiada bangunan khas yang sesuai dengan keperluan operasi gerak kerja MOSAR.

Tinjauan oleh Farhan bersama pasukan bomba dan MOSAR serta TTS di bangunan bekas penginapan di Gunting Lagadan Hut, Gunung Kinabalu.

Katanya, pasukan MOSAR hanya ditumpangkan di bilik penginapan di kawasan Panalaban dan kini keanggotan MOSAR semakin bertambah seramai 42 anggota bagi keperluan menghadapi sebarang kecemasan dan bencana di sepanjang laluan ke puncak Gunung Kinabalu.

“Kita ada melakukan tinjauan ke tempat penginapan MOSAR di Panalaban dan ia kurang sesuai dan perlu penambahan baikan.

Farhan bersama pasukan bomba yang memulakan pendakian dari Timpohon Gate ke Panalaban, Gunung Kinabalu.

“Oleh itu, berdasarkan perbincangan awal kita bersama Taman-Taman Sabah (TTS) dan mereka (TTS) telah cadangan supaya Gunting Lagadan Hut dijadikan lokasi pusat operasi MOSAR.

“Bagaimanapun ada beberapa perkara yang kami kena semak lagi dari segi keselamatan dan aset ataupun pergerakan yang mana perbincangan lanjut akan diadakan dengan TTS,” katanya ketika ditemui di Gunting Lagadan, Gunung Kinabalu, semalam.

MD Ali memberi taklimat kepada pasukan bomba yang menyertai pendakian ke Panalaban yang bertujuan memantau gerak kerja MOSAR di Gunung Kinabalu.

Terdahulu, Farhan dan Ketua Zon 3 Kudat Penguasa Bomba, Sahidih Mahali bersama 15 pegawai dan anggota JBPM Sabah memulakan pendakian pada 22 Januari lalu, untuk memantau gerak kerja MOSAR di Gunung Kinabalu.

Pendakian yang dirasmikan Pengarah JBPM Sabah, Md Ali Ismail juga bertujuan memantapkan lagi kerjasama strategik antara JBPM Sabah dan TTS dalam aspek penyelamatan melalui pewujudan MOSAR.

Mengulas lanjut, Farhan berkata, sehingga kini terdapat seramai 42 keanggotaan pasukan MOSAR di Gunung Kinabalu.

“Kita akan semak semula keanggotaan serta prosedur operasi standard (SOP) MOSAR untuk memberi perkhidmatan yang lebih efektif.

“Selain itu, hasil pendakian kami melihat mungkin beberapa ‘staging area’ bagi memastikan kestabilan mangsa dapat dipantau dari semasa ke semasa.

“Kita tidak boleh membawa mangsa terus ke bawah tanpa melihat kestabilan mangsa itu sendiri dari semasa ke semasa.

“Jadi kita merancang beberapa lokasi untuk staging area bagi memastikan tahap kestabilan mangsa terbabit,” katanya.

Semantara itu, mengenai operasi penyelamatan MOSAR di Gunung Kinabalu, Farhan menjelaskan bermula dari 2016 lalu sehingga semalam, sebanyak 259 kes penyelamatan dilaksanakan membabitkan pendaki untuk turun dari Gunung Kinabalu dan untuk tahun ini sahaja sebanyak enam kes penyelamatan dijalankan.

Katanya, kebanyakkan kes yang dilaksanakan iaitu menyelamat pendaki-pendaki yang mengalami Akut Gunung atau Altitude Mountain Sickness (AMS), kesejukan melampau dan tercedera.

“JBPM menasihatkan sekiranya pendaki-pendaki yang ingin mencabar diri untuk ‘menawan’ puncak Gunung Kinabalu perlu kenalpasti limitasi tahap kecergasan masing-masing.

“Selain persiap diri dari segi fizikal dan mental dengan membuat latih tubi sesuai dengan cabaran pendakian Gunung Kinabalu yang beraltitud tinggi dengan kadar oksigen rendah serta persediaan dari segi pemakaian yang bersesuaian yang boleh mengurangkan risiko kejadian tidak diingin berlaku termasuk risiko kecederaan,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|