Dua kapal tangki pindahkan minyak secara haram ditahan

Dua kapal tangki pindahkan minyak secara haram ditahan

Labuan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan dua kapal tangki yang sedang memindahkan minyak secaram haram, awal pagi tadi.

Dua kapal tangki disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Labuan.

Aktiviti kedua-dua kapal tangki berkenaan dikesan sekitar satu batu nautika dari perairan Labuan, kira-kira 3 pagi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin mengesan dua kapal tangki yang merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan.

Aktiviti memindahkan minyak secara haram berjaya dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ketika menjalankan rondaan di perairan Labuan.

Katanya, pasukan menggeledah melaksanakan pemeriksaan dan mendapati kedua-dua kapal itu sedang giat melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram.

“Pemeriksaan ke atas dokumentasi mendapati bahawa kedua-dua kapal itu tidak mempunyai dokumen kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia untuk aktiviti pemindahan minyak.

“Selain itu, kawasan kejadian adalah kawasan yang tidak digazetkan sebagai kawasan aktiviti pemindahan antara kapal (Ship To Ship Transfer),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua kapal tangki terbabit bersama lapan kru termasuk nakhoda berusia 30 hingga 50 tahun ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952,” katanya.

Sementara itu, Nudin berkata, Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti perkapalan supaya
mengikuti saluran yang betul dalam melakukan aktiviti Ship To Ship Transfer bagi mengelakkan daripada disabitkan kesalahan undang-undang.

Katanya, komuniti maritim dinasihatkan supaya melaporkan salahlaku jenayah dilaut kepada Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|