Kem Shan Shui, Tawau dinaik taraf secara berperingkat

Kem Shan Shui, Tawau dinaik taraf secara berperingkat

Kota Kinabalu: Memahami kepentingan aspek kebajikan anggota Rejimen Sempadan di negeri ini, Tentera Darat akan melakukan usaha menaik taraf Kem Shan Shui, Tawau secara berperingkat.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zamrose Mohd Zain berkata, dahulunya ia merupakan kem PLKN, namun kini diduduki oleh pasukan 8 RS.

“Ia akan dinaiktaraf dan ditambah baik berdasarkan kepada spesifikasi prosedur operasi standard (SOP) sebuah Batalion Infantri Standard (BIS), dalam menyediakan prasarana pentadbiran serta latihan yang kondusif kepada anggota secara berperingkat.

“Sebagaimana semua sedia maklum, Tentera Darat telah membina banyak rumah keluarga di negeri ini, antaranya di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu; Kem Paradise, Kota Belud; dan Kem Kabota di Tawau.

“Namun, pembinaan rumah keluarga untuk 8 RS masih dalam perancangan, memandangkan kem ini masih lagi dalam status sewaaan.

“Bagaimanapun, perancangan ini akan diteliti dengan segera demi menjaga kebajikan warga RS di negeri Sabah.

“Saya percaya usaha ini akan memberi impak besar kepada warga RS serta mendorong mereka untuk terus komited dalam mencapai misi dan visi Tentera Darat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan Perbarisan Pemakaian Pangkat Perdana Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Batalion 8 RS, di Dewan Kinabalu, Kem Lok Kawi, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, acara ini merupakan yang ketiga dan terakhir dalam siri pengisytiharan Perbarisan Pengukuhan yang telah diadakan di lokasi-lokasi yang berbeza.

“Penganjuran kali ini merupakan kali ketiga diadakan dengan melibatkan seramai 61 orang Anggota LLP Batalion Ke-8 Rejimen Sempadan (8 RS) yang telah dinaikkan pangkat.

“Terdahulu, siri pertama telah diadakan di Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia di Kem Bukit Cowder, Perlis yang melibatkan seramai 611 Anggota LLP, di mana pasukan yang terlibat ialah 1 RS, 2 RS, 3 RS, 4 RS dan 5 RS.

“Manakala, siri kedua telah diadakan di Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia di Kem Muara Tuang, Sarawak dengan melibatkan seramai 201 Anggota LLP, pasukan yang terlibat ialah 6 RS, 7 RS, 9 RS dan 10 RS,” katanya.

Turut hadir ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; dan Ketua Staf Tentera Darat (KS TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|