UMS terima dana penyelidikan perubatan regeneratif syarikat Jerman

UMS terima dana penyelidikan perubatan regeneratif syarikat Jerman

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani perjanjian penyelidikan bersama syarikat bioteknologi yang berpangkalan di Jerman, Stellar Biomolecular Research, untuk mengkaji perubatan generatif.

Dr Yew Chee Wei merupakan penyelidik utama dalam sebuah projek penyelidikan yang bertajuk ‘In vitro evaluation of the protective effects of mito organelles (MO) against amyloid-beta peptide-induced toxicity in human neuroblastoma SHSY5Y cells’.

Kasim (tujuh kiri) mengalu-alukan kerjasama dimeterai dengan syarikat Jerman, Stellar Biomolecular Research, di bawah pimpinan Datuk Seri Mike Chan (lima kiri).

“Sifat neurotropik MO peptida diteorikan untuk memperlahankan perkembangan proses patologi dan neurodegenerasi yang disebabkan oleh penuaan, sambil merangsang proses pemulihan.

“Justeru, projek ini bertujuan untuk menyiasat potensi peptida MO dalam merawat penyakit Alzheimer dengan mengkaji kesan perencatan acetylcholinesterase (AChE) MO dalam vitro,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, perjanjian itu telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr Rosalam Sarbatly, yang mewakili UMS, bersama pengasas dan presiden syarikat itu, Datuk Seri Mike Chan.

Ia telah disaksikan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS, Profesor Dr Lee Ping Chin.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mike Chan berkata, peluang untuk berkerjasama dengan UMS dalam membantu penyelidikan dan pembangunan bioteknologi serantau merupakan satu kebanggaan.

“Saya berharap Stellar Biomolecular Research dapat membantu membangunkan ekosistem penyelidikan, pengkomersilan, dan pengembangan pasaran kerja bioteknologi di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, beliau menghargai sumbangan itu dan melahirkan rasa teruja berkenaan potensi untuk penyelidikan dan pembangunan merentas disiplin yang bermanfaat, hasil daripada kerjasama ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|