Kota Kinabalu: Susulan kejadian serangan maut seekor gajah terhadap seorang petugas Taman Hidupan Liar Lok Kawi baru-baru ini, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bertindak meletakkan gajah yang merbahaya di kawasan pengasingan.
Pengarah JHL Sabah, Agustine Tuuga berkata, beliau bagaimanapun berharap langkah itu hanya sementara kerana ia menyekat kebebasan gajah tersebut, menandangkan biasanya ia akan dirantai.
Menurut beliau, pihaknya akan mengikhtiharkan agar gajah terbabit mempunyai kebebasan untuk bergerak dengan menempatkan mereka di fasiliti yang memiliki kemudahan sedemikian.
“Bagaimanapun, Sabah tiada kemudahan sedemikian melainkan pihak kerajaan dapat memberi peruntukan yang mencukupi agar ia dapat disediakan.
“Sementara itu, langkah lain yang boleh dilakukan ialah menghantar gajah terbabit ke luar negara di tempat yang mempunyai kemudahan mencukupi di mana mereka bebas bergerak tanpa dikurung di tempat yang sempit atau dirantai.
“Kebajikan gajah adalah aspek paling penting pengurusan gajah dalam kurungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Agustine berkata, ketika ini, bilangan gajah yang berada dalam tawanan di negeri ini melebihi kapasiti yang mampu ditampung fasiliti sedia ada.
Jelasnya, perkara itu sekali gus menyebabkan mereka tidak mempunyai kebebasan untuk bergerak dengan selesa.
“Terlalu banyak gajah dalam kurungan di Sabah sekarang. Fasiliti sedia ada tidak dapat menampung kebebasan mereka bergerak dalam kawasan yang mencukupi keluasannya.
“Bilangan kakitangan yang menjaga mereka juga adalah sangat jauh kurang daripada bilangan yang sepatutnya.
“Kebanyakan pekerja adalah ditaja atau dibayar gaji oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO),” katanya lagi.
Terdahulu, seorang petugas di Taman Hidupan Liar, Lok Kawi, maut selepas diserang seekor gajah pygmy ketika berada di kandang pameran gajah.
Lelaki berusia 49 tahun itu dilaporkan mengalami kecedaraan parah di bahagian perut dan dada, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
-Deasoka