SESB tambah baik sistem pembekalan elektrik melalui IBR

SESB tambah baik sistem pembekalan elektrik melalui IBR

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yakin usaha melaksanakan Incentive Based Regulation (IBR) dapat menambah baik sistem pembekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar, berkata pelaksanaan IBR yang telahpun bermula dapat menjadikan bekalan elektrik lebih berdaya harap.

Katanya, ia secara langsung mampu untuk menghadapi cabaran industri bekalan elektrik yang berkembang maju dan lebih mencabar di Sabah dan Labuan.

“Bermula pada Januari 2022 sehingga Disember 2024, SESB memasuki fasa baharu dengan melaksanakan IBR iaitu satu mekanisme bagi penetapan tarif elektrik dengan insentif untuk menambah baik perkhidmatan SESB secara telus kepada pelanggan.

“Ini membolehkan SESB lebih progresif dalam menambah baik sistem pembekalan elektrik ke setiap daerah di negeri ini dan Labuan.

“Bagaimanapun, tarif purata asas elektrik dicaj kepada pengguna masih lagi kekal pada 34.52 sen/kWj dengan subsidi kerajaan berjumlah RM1.76 bilion (bersamaan dengan 9.31 sen/kWj) bagi tempoh tiga tahun” katanya dalam satu
kenyataan, di sini.

Katanya, pelaksanaan IBR termasuk komponen fleksibel atau anjal menerusi Mekanisme Pelepasan Imbangan Kos Penjanaan (ICPT) yang membolehkan SESB sebagai utiliti mengatasi perubahan, sama ada peningkatan atau penurunan kos bahan api dan kos penjanaan elektrik dilepaskan kepada pengguna bersesuaian dengan peruntukan di dalam Akta Bekalan Elektrik 1990.

Di bawah mekanisme ICPT, katanya kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat setelah mengambil kira subsidi kerajaan.

Jelasnya, peningkatan kos penjanaan adalah rentetan daripada kenaikan kos bahan api diesel dan medium fuel oil yang menjadi sebahagian daripada bahan api penjanaan elektrik di Sabah dan Labuan selain gas asli di pasaran global yang berada di luar kawalan SESB dan kerajaan.

Sehubungan itu, Mohd Yaakob berkata SESB menyambut baik pengumunan yang dibuat kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) berkaitan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme ICPT yang akan dilaksanakan secara bersasar di Sabah dan Labuan bermula 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2023.

Berdasarkan ketetapan yang diputuskan, pengguna domestik (tarif DM) dan pengguna bukan domestik yang terdiri daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam kategori tarif komersial dan industri voltan rendah (tarif CM1 dan ID1) dikecualikan daripada surcaj ICPT.

Sebaliknya, semua pengguna bukan domestik lain yang merangkumi kategori tarif voltan rendah, voltan sederhana dan voltan tinggi yang antaranya terdiri daripada komersial dan industri akan dikenakan surcaj ICPT secara penuh pada kadar 10.04 sen/kWj.

Mohd Yaakob berkata jumlah caj ICPT dalam bil elektrik pengguna adalah berbeza kerana ia bergantung kepada jumlah penggunaan tenaga elektrik (kWj) sebulan setiap pengguna.

Jelasnya, bagi menampung kos penjanaan elektrik, kerajaan memberi peruntukan subsidi sebanyak RM212 juta bagi tempoh 6 bulan kepada pengguna domestik dan bukan domestik di bawah kategori tarif CM1 dan ID1.

“Adalah dianggarkan 99 peratus atau lebih daripada 656,000 daripada keseluruhan pengguna elektrik tidak akan mengalami peningkatan kos penjanaan ini.

“Oleh itu, jumlah ICPT yang perlu dibayar adalah berbeza daripada seorang pengguna dengan pengguna yang lain dan berbeza dari satu bulan ke satu bulan yang lain, bergantung kepada penggunaan tenaga elektrik,” katanya.

Bagi mengurangkan impak ICPT dalam bil, katanya pengguna disarankan mengambil langkah penjimatan elektrik seperti yang disarankan pihak ST.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|