Dua ‘beranak’ tipu maklumat daftar kad pengenalan dipenjara 10 dan 12 bulan

Dua ‘beranak’ tipu maklumat daftar kad pengenalan dipenjara 10 dan 12 bulan

Tawau: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 10 bulan dan 12 bulan selain denda RM2,000 terhadap dua lelaki selepas mengaku salah mengemukakan maklumat palsu ketika memohon kad pengenalan daftar lewat pada 2017.

Tertuduh, Elipin Usman, 52, dan Noor Rizwan Elipin, 26, masing-masing membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan yang bertindak selaku Majistret.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Elipin dan Noor Rizwan masing-masing didakwa memberikan maklumat palsu ketika menjadi penganjur dan pemohon untuk mendaftarkan kad pengenalan bernombor 960630-12-5595 atas nama Noor Rizwan Bin Elipin di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan UTC Tawau, pada jam 4.49 petang, 8 September 2017.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dihukum mengikut peraturan yang sama.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengemukakan permohonan daftar lewat kad pengenalan tetapi ditolak panel JPN kerana keputusan DNA di antara penganjur dan pemohon menunjukkan kedua-duanya tiada pertalian darah.

Malah, Elipin juga mengemukakan akuan berkanun (SD) yang mengakui bahawa pemohon (Noor Rizwan) bukan anak kandungnya.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|