UMS lahirkan doktor perubatan kembar seiras

UMS lahirkan doktor perubatan kembar seiras

Kota Kinabalu: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali ke-23 turut menyaksikan keistimewaan dengan kejayaan pasangan kembar yang menerima Ijazah Doktor Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) bersama-sama.

Pasangan kembar, Dr Hamssavani Slevaraj dan Dr Hamshavali Slevaraj masing-masing menamatkan pengajian bersama 4,317 graduan yang lain pada majlis yang diadakan di Dewan Canselor UMS, baru-baru ini.

Mereka yang memulakan pengajian dalam program Doktor Perubatan pada tahun 2016 berjaya menamatkan pengajian selepas lima tahun.

“Kami berdua tidak pernah berpisah dan mengharungi suka duka dalam pengajian bersama-sama.

“Malah dua tahun bersama-sama menjalani latihan pra klinikal dan tiga tahun latihan klinikal di hospital-hospital sekitar Sabah,” ujar Dr Hamssavani.

Menurutnya, perkara yang cukup mencabar adalah pada ketika pandemik Covid-19 sedang memuncak.

“Kami bukan sahaja terpaksa melalui pembelajaran secara atas talian, tetapi pada masa sama perlu bijak menguruskan waktu yang terhad untuk hadir ke hospital dengan SOP yang cukup ketat bagi memenuhi keperluan jam kredit latihan klinikal,” katanya.

Bagi Hamshavali pula, berkat kecekalan dan keazaman yang ditanam bersama sejak dibangku tadika merupakan antara kunci kejayaan untuk mereka berjaya menamatkan pengajian.

“Terima kasih kepada ibu bapa, ahli keluarga dan semua pihak yang telah menyokong kami termasuk para pensyarah dan rakan-rakan.

“Selain mahu berkhidmat kepada masyarakat, jika mempunyai kesempatan kami juga berazam melanjutkan pengajian untuk mencatat nama sebagai antara doktor pakar di negara ini pada masa akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|