Siasat sindiket jual dokumen pengenalan secara terperinci – Hajiji

Siasat sindiket jual dokumen pengenalan secara terperinci – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengambil berat kes penahanan seorang ketua parti politik yang didakwa terbabit dalam aktiviti menjual dokumen pengenalan palsu di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan pihak berkuasa perlu menyiasat kes itu secara terperinci dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang terbabit.

“Jika didapati benar, suspek dan ahli sidiket mesti dikenakan tindakan undang-undang yang sekeras-kerasnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai penahanan dua individu termasuk seorang ketua parti politik mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada sidang media di Kuala Lumpur petang tadi.

Hamzah pada sidang medianya di Bukit Aman mendedahkan polis menahan dua lelaki termasuk presiden sebuah parti politik yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan pengeluaran kad pengenalan.

Pemimpin terbabit iaitu Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Mohd Arshad Abdul Mualap, 46 bersama seorang lagi lelaki, Mohd Amkah Ahmad, 48, dihadapkan di Mahkamah Shah Alam pagi tadi.

Hamzah berkata, kedua-dua suspek ditahan di Subang Jaya pada 22 Jun lalu dan polis turut merampas ratusan borang membabitkan ratusan mangsa penipuan.

Ia membabitkan sindiket penipuan dengan menawarkan kad data lengkap berkod QR yang didakwa membolehkan pemohon memiliki Kad Pengenalan Malaysia (Mykad).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|