Sipitang: Bekas Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN), Datuk Dr Yusof Yacob memberi bayangan mahu membuat kemunculan semula untuk bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Katanya, beliau bersedia untuk dijadikan calon namun terpulang kepada rakyat dan pucuk pimpinan yang mahu mencalonkannya pada pilihan raya akan datang.
“Sejak dulu saya tidak pernah melobi jadi calon. Semasa saya jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, saya masih berpegang bahawa kalau kita terhegeh-hegeh menjadi calon tetapi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kita tidak sampai untuk layak jadi calon, tidak ada gunanya.
“Saya bukan kata terhegeh-hegeh mahu jadi calon atau minta jadi calon tetapi terpulang kepada pemimpin. Kalau pucuk pimpinan mengatakan saya calon, kita teruskan, saya bersedialah,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada orang kelainan upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Daerah Sipitang, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada mahu bertanding di kerusi Parlimen pada PRU-15 setelah kira-kira 14 tahun meninggalkan Parlimen kerana tidak dicalonkan semula ketika masih dalam UMNO sebelum ini.
ADUN Sindumin itu pernah menjadi Ahli Parlimen Sipitang dari 1995 hingga 2008 dan memegang jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari 2004 hingga 2008.
Dr Yusof kemudian bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dalam PRU-14 pada 2018 dan memenanginya atas tiket WARISAN sebelum sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket WARISAN pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada September 2020 sebelum keluar parti dan menjadi ADUN Bebas pada Oktober tahun lalu.
Mengulas lanjut, Dr Yusof berkata, untuk menjadi calon seseorang itu perlu mempunyai prestasi yang baik di kawasan dan bukan bergantung kepada kekuatan parti semata-mata bagi memenangi pilihan raya.
“Saya selalu mengatakan bahawa kekuatan parti itu memang ada tetapi parti yang kuat saja tidak menjamin kemenangan kalau calon itu tidak disukai rakyat. Kalau mengikut penilaian saya, kekuatan parti 40 peratus dan kekuatan diri 60 peratus.
“Kalau pun diangkat oleh parti tetapi kita tidak ada kelakuan peribadi, tiada KPI, tidak buat kerja, rakyat benci kita, bagaimana kita mahu menang,” katanya.
Sementara itu, ditanya hala tuju beliau selepas keluar daripada WARISAN pada Oktober tahun lalu, Dr Yusof berkata, beliau kekal sebagai ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bagaimanapun, beliau tidak menolak akan menyertai mana-mana parti lain selepas ini dan perkara itu akan diumumkan kemudian.
“Saya masih bebas dan menyokong kerajaan GRS yang ada sekarang dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.
“Sekarang belum lagi (sertai mana-mana parti), saya akan umumkan kemudian. Seperti yang saya katakan politik ini dinamik. Masa yang betul, orang yang betul dan tempat yang betul untuk kita sesuaikan, jika tiga ini ada, ia akan berlaku,” katanya.
-Deasoka