MAIWP agih RM3.2 juta wang zakat sebagai bantuan Aidilfitri kepada asnaf di Labuan

Labuan: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan mengagihkan RM3.2 juta wang zakat kepada golongan asnaf di pulau ini sebagai bantuan menyambut Aidilfitri, bulan depan.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, berkata seramai 4,000 asnaf disenaraikan menerima bantuan zakat berkenaan dengan setiap seorang menerima RM800.

Bashir (dua kanan) menyerahkan bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada asnaf pada Majlis Iftar MAIWP Labuan

“MAIWP telah menyediakan bantuan Aidilfitri sebanyak RM800 seorang kepada 4,000 asnaf di pulau ini membabitkan agihan wang zakat sebanyak RM3.2 juta,” katanya pada Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Kepada Asnaf anjuran MAIWP Labuan, di pekarangan Masjid Al Munawar Kampung Pohon Batu, di sini, baru-baru ini.

Seramai 100 asnaf dari Kampung Pohon Batu dan Kampung Batu Manikar, di sini, diraikan dalam majlis berkenaan.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadzli Md Saad; Ketua Kampung Pohon Batu, Haryadi Omar dan Ketua Kampung Batu Manikar, Ismail Abdul Rahman.

Bashir (dua kanan) menyerahkan bantuan Ramadan kepada asnaf dari Kampung Pohon Batu dan Batu Manikar, Labuan.

Pada majlis itu, MAIWP turut menyampaikan bantuan berupa wang tunai sebanyak RM100 dan barangan keperluan dapur bagi membantu asnaf sempena Ramadan.

Bashir berkata, penganjuran majlis itu membuktikan MAIWP sentiasa mengikuti perkembangan arus perubahan semasa dalam mempelbagaikan bantuan dan berusaha meningkatkan kemajuan sosio ekonomi, bagi memastikan kesejahteraan umat Islam melalui sistem pengurusan dan pembangunan yang berlandaskan hukum syarak dengan menggunakan sumber MAIWP.

Tambahnya, MAIWP sentiasa berusaha melakukan transformasi dengan menambah baik pengurusan pengagihan zakat bagi memastikan ia tetap kekal relevan dengan peredaran semasa.

“Ia termasuk mengkaji semula dasar dan SOP skim-skim bantuan, penetapan had kifayah agar bersesuaian untuk diguna pakai mengikut keadaan semasa,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|