Doktor kerugian RM20,000 diperdaya Macau Scam

Doktor kerugian RM20,000 diperdaya Macau Scam

Keningau: Seorang doktor kerugian RM20,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Mangsa berusia lingkungan 20 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu mengaku kononnya pegawai LHDN, pada 27 Mei lalu.

Deputi Supritendan Nor Rafidah Kasim

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Supritendan Nor Rafidah Kasim berkata, mangsa kemudian dimaklumkan mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM39,000 atas sebuah syarikat yang didaftar menggunakan namanya.

Katanya, panggilan kemudian disambungkan ke Balai Polis Bukit Aman untuk mangsa bercakap dengan polis berpangkat Sarjan.

“Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan terbabit dengan sindiket dadah dan penggubahan wang haram.

“Mangsa kemudian diminta memindahkan wang di dalam akaun miliknya ke dalam akaun pihak ketiga untuk tujuan penyiasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nor Rafidah berkata, mangsa yang terpedaya memindahkan wang sebanyak RM20,000 ke dalam akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali.

“Dia (Mangsa) hanya menyedari tertipu semalam dan terus tampil ke balai polis untuk membuat laporan.

“Laporan juga dibuat berikutan mangsa takut semua dokumen peribadi dan identitinya termasuk gambar mangsa akan disalah guna,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang awam diingatkan supaya tidak mudah panik atau terpedaya dengan penggilan telefon yang diterima daripada pihak tidak dikenali. Mereka boleh menghubungi pihak polis atau pihak yang berkenaan untuk mendapatkan kepastian.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang memaklumkan mereka sebagai badan penguatkuasa atau institusi kewangan.

“Mereka juga diminta untuk tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan atau buat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|