Tabung Pendidikan Negeri Sabah dilancar hari ini

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) hari ini melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menjadi inisiatif baharu bagi membangunkan agenda pendidikan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata inisiatif yang bertemakan ‘Peluang Tajaan Untuk Semua’ itu membuka sinar baharu kepada rakyat negeri ini dalam mengejar pendidikan di menara gading.

Hajiji melakukan gimik pelancaran Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) di SICC Kota Kinabulu.

Katanya, penubuhan TPNS menerusi inisiatif Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah (YS) 2015-2023 diwujudkan bagi mengumpul dana untuk membuka lebih banyak peluang tajaan kepada anak-anak Sabah yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi.

“Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif Kumpulan YS dalam menokok tambah usaha kerajaan membangunkan agenda pendidikan di negeri ini.

“Pelancaran TPNS ini tepat pada masanya, sekali gus membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri melalui Kumpulan YS terhadap masa depan generasi muda kita.

“Komitmen itu amat diperlukan lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan fasa pertama Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021 -2025) yang dilancarkan pada Mac 2021 dengan menjadikan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai antara teras utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan TPNS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, kerajaan negeri amat memberi penekanan dalam pembangunan modal insan di negeri ini.

Justeru katanya, dalam Belanjawan Negeri 2022, pelbagai insentif diberikan bagi memperkasa pendidikan di Sabah termasuk mewujudkan TPNS.

Katanya, sejajar dengan komitmen pembangunan modal insan melalui pendidikan, pemberian biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Beliau berkata, keutamaan penajaan adalah kepada pelajar yang mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan pasaran pada masa akan datang.

Pada tahun ini, katanya satu inisiatif baharu juga dilaksanakan iaitu Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Jelasnya, menerusi BISTARI, kerajaan negeri akan menyumbang RM100 kepada setiap anak Sabah yang dilahirkan bermula tahun ini untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Di samping pelbagai program bantuan pendidikan yang dilaksanakan, katanya kerajaan juga sentiasa berusaha untuk menambah peruntukan bagi bantuan pembiayaan pendidikan dan latihan sama ada dalam bentuk biasiswa, geran atau pinjaman.

“Sejak tahun 1967 sehingga 2021, Kumpulan YS membelanjakan sebanyak RM768,981,057.74 yang memberi manfaat kepada 114,934 orang pelajar untuk tajaan menengah dan pengajian tinggi.

“Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM10 juta dalam usaha meringankan beban keluarga pelajar menerusi pelaksanaan Program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) iaitu pemberian bantuan tunai one-off sebanyak RM2,000 kepada pelajar yang mengambil ijazah dan RM1,500 kepada pelajar diploma.

“Bantuan ini disasarkan kepada keluarga berpendapatan B40. Setakat ini, bagi bantuan BUDI seramai 1,079 pelajar telah diluluskan daripada lebih kurang 5,000 pelajar yang dijangka menerima faedah ini membabitkan peruntukan RM10 juta,” katanya.

Hajiji berkata, inisiatif lain ialah pengagihan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar yang tidak berkemampuan dan bakal menduduki peperiksaan awam.

“Bantuan-bantuan ini dilaksanakan demi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik terutamanya golongan B40,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata sehingga kini, TPNS mengumpul sebanyak RM54.5 juta melalui sumbangan daripada kerajaan negeri, Benta Wawasan Sdn Bhd, Sabah Softwoods Berhad, Innoprise Plantations Berhad, Yayasan Lau Gek Poh, Ikatan Kayangan Sdn Bhd dan Usahawan Borneo Group.

Beliau menyeru semua pihak termasuk syarikat besar yang beroperasi dan meraih keuntungan di negeri ini agar dapat tampil memberi sumbangan bagi membolehkan TPNS mengumpul dana yang diperlukan.

“Harapan saya agar dana terkumpul ini akan menjadi landasan bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

“Sesungguhnya, anak-anak Sabah pada hari ini adalah aset paling berharga bagi negeri kita kerana mereka adalah tiang negara dan bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|