Dewan makan SMK Kota Marudu 1 terbakar

Dewan makan SMK Kota Marudu 1 terbakar

Kota Marudu: Dewan makan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu 1, di sini, hampir musnah selepas sebahagian besar dewan berkenaan terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, dewan makan berkeluasan 278 meter persegi berkenaan dilaporkan terbakar sehingga 70 peratus keseluruhan bangunan.

Dewan makan SMK Kota Marudu 1 yang terbakar 70 peratus dalam kejadian malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.49 malam.

Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah dewan makan SMK Kota Marudu 1.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan sepanjang 60 dari sumber air dari tangki jentera.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal daripada terus merebak ke bangunan berhampiran pada jam 9.02 malam.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.15 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|