Tuaran: Sepasukan anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan dua lelaki yang tersepit di dalam kenderaan selepas terbabas sendiri di Jalan Tuaran Lama, berhadapan JPJ Telipok, di sini, petang tadi.
Kedua-dua mangsa berusia 18 dan 57 tahun mengalami cedera ringan dan separa kritikal.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.57 petang.
Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika anggota bomba tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser terbabas sendiri dan terdapat lima mangsa terlibat iaitu empat lelaki dan seorang wanita.
“Dua mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira 30 minit.
“Manakala tiga mangsa telah keluar sendiri dari kenderaan dan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 7.47 malam,” katanya.
-Deasoka