DAP Sabah semakin tertekan dengan krisis keyakinan – Bung Moktar

DAP Sabah semakin tertekan dengan krisis keyakinan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Pergolakan politik pembangkang di Sabah semakin ketara selepas beberapa lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar parti termasuk yang terbaharu dari DAP.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, DAP Sabah dilihat semakin tertekan dengan krisis keyakinan berikutan kekalahan teruk dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Nampak gaya pergolakan (pembangkang) politik di Sabah semakin melebar.

“DAP Sabah dilihat semakin tertekan dengan krisis keyakinan, ini ekoran PRN Melaka dan PRN Sarawak di mana DAP kalah teruk dan sudah tentu bahana kekalahan itu turut dirasai oleh DAP Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, walaupun belum diketahui ke mana hala tuju ADUN DAP yang bertindak keluar parti namun Bung Moktar percaya mereka mempunyai perancangan tersendiri.

“Kita belum pasti ke mana hala tuju dua ADUN DAP ini, namun saya percaya mereka mempunyai perancangan tersendiri.

“Apapun politik adalah perkara yang hidup dan perjuangan perlu berlandaskan keyakinan, kalau kita sudah tidak yakin dengan apa yang sedang diperjuangkan maka kita perlu mencari hala tuju yang baharu.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua ADUN yang meninggalkan DAP ini,” katanya.

Semalam, ADUN Sri Tanjong, Justin Wong dan ADUN, Elopura Calvin Chong bersama bekas senator, Adrian Lasimbang mengumumkan keluar daripada DAP berkuat kuasa serta merta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|