KKM perlu jelaskan hasil penilaian sebelum mansuh SOP imbasan suhu

KKM perlu jelaskan hasil penilaian sebelum mansuh SOP imbasan suhu

Kota Kinabalu: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menjelaskan sama ada penilaian yang menyeluruh sudah dilakukan mengenai pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) imbasa suhu di semua premis yang diumumkan Menterinya, Khairy Jamaluddin, semalam.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata KKM juga perlu memberi penjelasan sama ada pemansuhan SOP itu membabitkan semua premis termasuk di lapangan terbang.

“Adakah KKM telah membuat satu kajian dan penilaian yang menyeluruh sebelum mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar menggugurkan kewajiban pengimbas suhu daripada SOP Covid-19?

“Adakah langkah terbaharu KKM ini bermaksud imbasan suhu juga tidak akan digunakan sama sekali di lapangan terbang dan premis-premis utama tumpuan orang ramai?

“Jika kajian dan penilaian mendalam telah dibuat, maka adalah wajar KKM mengumumkan kepada awam hasil kajian dan penilaian mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penjelasan itu penting supaya orang ramai dan pemilik premis tidak dikelirukan dengan SOP atau peraturan baharu, terutama ketika penularan varian Omicron dikatakan bakal membawa impak besar dalam waktu terdekat.

Katanya, kenyataan mengenai perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat jelata, pakar kesihatan dan pihak penguatkuasaan yang terbabit dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

“Mekanisme pengimbas suhu bukan sahaja satu pendekatan baharu yang digunakan ketika pandemik Covid-19, tetapi sejak SARS mula muncul sebagai satu masalah kesihatan sejak lebih satu dekad lalu, sebagai langkah awal untuk mengesan keadaan kesihatan seseorang individu.

“Oleh itu, hampir setiap premis mengeluarkan belanja yang secara kolektif melibatkan berjuta-juta ringgit, bagi tujuan imbasan suhu atas arahan pihak berkuasa sendiri sejak tahun 2020,” katanya.

Dalam sidang medianya, semalam Khairy berkata KKM bersetuju untuk memansuhkan syarat wajib mengimbas suhu apabila memasuki sesuatu premis dan keperluan untuk menyediakan peralatan itu seperti ditetapkan dalam SOP ketika ini.

Katanya, orang ramai hanya perlu merekodkan butiran diri dengan membuat imbasan menggunakan aplikasi MySejahtera apabila memasuki mana-mana premis.

Bagaimanapun, katanya pemansuhan SOP itu perlu dibuat dengan melakukan pindaan terlebih dahulu melalui Mesyuarat Kuartet Covid-19 sebelum dibawa ke mesyuarat MKN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|