Jangan naikkan harga barang pada musim perayaan – Persatuan Pengguna Bijak

Jangan naikkan harga barang pada musim perayaan – Persatuan Pengguna Bijak

Kota Kinabalu: Peniaga di negeri ini diingatkan supaya tidak menaikkan harga barang kawalan sewenang-wenangnya hingga melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan, khususnya menjelang musim perayaan.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana peniaga jik didapati mengamalkan sikap tidak beretika dalam perniagaan terutama menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

“Menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, peniaga jangan sesuka hati menaikkan harga barang keperluan dan jangan mengambil kesempatan atau melanggar akta sedia ada di seluruh Sabah.

“Peniaga juga perlu meletak tanda harga pada semua barangan jualan bagi memudahkan pengguna ketika membeli-belah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, pembeli mempunyai hak untuk membuat pilihan dengan membeli di kedai yang menjual barangan dengan harga yang lebih murah bagi memberikan peringatan kepada peniaga lain.

“Peniaga diharap menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan serta meletakkan tanda harga khas bagi barangan harga terkawal untuk membezakan dengan barangan lain,” katanya.

Sementara itu, David turut mengingatkan peniaga pasar malam supaya sentiasa menjaga kebersihan dalam pengendalian makanan, pengurusan sisa dan lebihan makanan serta tidak menghalang lalu lintas ketika menjalankan perniagaan.

“Dalam masa sama, saya ingin mengingatkan pengguna perlu sentiasa mengambil langkah berhati-hati memilih makanan yang dijual di pasar-pasar malam.

“Langkah ini adalah bertujuan mengelakkan perkara yang tidak diingini seperti berlakunya keracunan makanan,” ujarnya.

Terdahulu, beliau menyarankan orang ramai supaya melaporkan kepada Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika terdapat salah laku peniaga dengan menghubungi nombor talian 088-484368 (KPDNHEP Kota Kinabalu), WhatsApp 019-2794317 (Aduan Pengguna) atau email e-aduan@kpdnhep.gov.my.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|