Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran di perairan daerah ini, Jumaat lalu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, pada jam 11 pagi bot peronda Maritim Malaysia menahan sebuah bot namun pengendali bot bertindak agresif dengan memecut bot melarikan diri.
Katanya, bot berkenaan meloloskan diri ke kawasan cetek dan menuju ke arah
hutan bakau.
“Pada 1.10 petang, hari yang sama, bot peronda yang ditugaskan berjaya menemui sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran ditinggalkan di celah-celah hutan bakau di posisi lebih kurang 0.2 batu nautika timur Tanjung Pegasan, Pitas.
“Bot ditinggalkan tanpa pengendali. Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa beberapa jenis barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan dan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Antaranya 20 tong minyak diesel dengan anggaran 4,000 liter, 60 peket tepung dan 85 kilogram minyak masak yang disembunyikan di dalam bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bot dan semua barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM68,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan cubaan menyeludup diesel, minyak masak dan tepung,” katanya.
-Deasoka