PJMKM tawar penjimatan hingga 25 peratus – Shahelmey

PJMKM tawar penjimatan hingga 25 peratus – Shahelmey

Putatan: Orang ramai di Sabah disaran memanfaatkan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) yang diadakan pada setiap hujung minggu di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata program pada setiap Sabtu dan Ahad itu menawarkan diskaun terhadap barangan terpilih dengan penjimatan sehingga 25 peratus.

Shahelmey meninjau pelaksanaan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Pasaraya Coop Mart, Putatan.

Katanya, menerusi inisiatif kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup itu, pengguna boleh mendapatkan lapan jenis barangan keperluan seperti telur, minyak masak, ayam, sayuran dan beras di kedai yang mengambil bahagian.

“Dengan adanya PJMKM yang dapat menawarkan penjimatan berbelanja sehingga 25 peratus, saya menggalakkan pengguna yang ingin berbelanja barangan keperluan supaya merancangnya mengikut jadual bila program ini diadakan.

“Contohnya untuk DUN Tanjung Keramat dan Petagas ini diadakan setiap hujung minggu iaitu pada Sabtu dan Ahad, setiap minggu, empat kali sbulan.

“Maka untuk pengguna yang ingin berbelanja lapan jenus barang keperluan seperti telur, minyak masak, beras, sayur, ayam dan sebgainya bolehlah merancang masa berbelanja pada waktu program itu diadakan,” katanya pada pelancaran PJMKM DUN Tanjung Keramat dan Petagas di Pasaraya Coop Mart, di sini, siang tadi.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, berkata menerusi PJMKM, pengguna boleh menikmati penjimatan dalam perbelanjaan keluarga.

“Contohnya jika perbelanjaan barangan keperluan harian sebanyak RM200 pada bila-bila masa tetapi dengan adanya penjimatan atau diskaun yang diperolehi melalui PJMKM ini maka RM200 mereka dapat dijimatkan sebanyak RM40.

“Oleh itu ada RM40 duit dapat dibelanjakan kepada keperluan lain. Jadi bila kerajan telah melaksanakan jualan murah ini untuk kebaikan rakyat, rakyat atau pengguna gunalah, rancang pembelian untuk menikmati insiatif keprihatinan yang disediakan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata tiada had pembelian ditetapkan dalam PJMKM, namun kerajaan memberikan subsidi RM6,000 setiap minggu untuk pelaksanaan program berkenaan.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak RM24,000 subsidi disediakan kerajaan untuk setiap DUN.

“Jadi, terpulang kepada pengguna banyak mana mereka belanja sehingga kuota subsidi RM6,000 itu habis terpakai,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|