GRS platform terbaik untuk semua parti bersatu – Hajiji

GRS platform terbaik untuk semua parti bersatu – Hajiji

Kudat: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah platform terbaik kepada semua parti di Sabah untuk bersatu dan membawa pembangunan kepada negeri serta rakyatnya.

Beliau berkata tiada cara lain untuk mencapai matlamat itu selain bersatu di bawah sebuah parti iaitu GRS.

Hajiji ketika berucap dalam Program Jelajah GRS Parlimen Kudat, di Dataran Tomborungus.

“Kita tiada alternatif lain memandangkan kita sudah lama berpecah,” katanya pada Program Jelajah GRS Parlimen Kudat, di Dataran Tomborungus, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata tidak kira sebanyak mana pengalaman atau sehebat manapun pemimpin, hak Sabah dalam persekutuan Malaysia tidak akan dapat dilindungi jika tidak bersatu.

Hajiji bersama pemimpin parti komponen GRS pada Program Jelajah GRS Kudat di Dataran Tomborungus, Kudat.

Beliau juga yakin kerajaan negeri sekarang yang dibentuk atas kerjasama GRS dan Barisan Nasional (BN) kekal kukuh.

“Saya yakin BN Sabah mempunyai pendiriannya sendiri dalam melindungi hak Sabah. Kita tidak perlu terikut-ikut dengan landskap politik di sebelah sana,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri berjaya mendapatkan kembali banyak hak Sabah daripada kerajaan persekutuan dengan yang terbaru berkaitan pembentukan Suruhanjaya Tenaga Sabah yang dijangka direalisasikan tahun depan.

“Pendirian GRS mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) konsisten. Kita akan terus memperjuangkan apa yang sepatutnya menjadi milik kita,” katanya.

Yang turut hadir ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Penyelaras GRS Kudat, Datuk Dr Ruddy Awah; Bendahari BERSATU Sabah, Datuk Razali Radzi dan Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun.

Terdahulu, Hajiji turut berjumpa dengan pemimpin BERSATU bahagian Kudat di Kampung Air, di sini, dan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Golf Piala Ketua Menteri di Kelab Golf Kudat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|