Covid-19 Sabah: Kluster baharu babitkan kakitangan, pelajar madrasah di Putatan

Covid-19 Sabah: Kluster baharu babitkan kakitangan, pelajar madrasah di Putatan

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu Covid-19 berkaitan jangkitan membabitkan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah hari ini, kali ini di daerah Putatan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Pandan-Pandan itu dikesan membabitkan kakitangan, keluarga dan pelajar Madrasah Darul Hadis di Kampung Pandan-Pandan.

Katanya, kluster berkenaan tercetus selepas kes indeks iaitu seorang guru madrasah berumur 53 tahun disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan bergejala.

“Beliau yang mengalami gejala batuk, demam dan selesma menjalani saringan PCR pada 17 Januari dan disahkan positif Covid-19.

“Saringan ke atas kontak rapat yang terdiri daripada keluarga kes indeks, kakitangan dan pelajar madrasah mendapati 15 orang lagi telah dijangkiti menjadikan jumlah keseluruhan yang positif dalam Kluster ini seramai 16 orang.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes baharu dilaporkan hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata peningkatan kluster aktif sejak kebelakangan ini menyebabkan kes baharu di Sabah melonjak semula dengan jumlah terbaharu 256 kes hari ini, naik 14 kes berbanding 242 kes semalam.

Beliau berkata, sebanyak 86 kes baharu pada hari ini disumbangkan melalui empat kluster aktif dengan jumlah tertinggi daripada Kluster Sungai Trayon di Kinabatangan berkaitan jangkitan tempat kerja sebanyak 54 kes.

Katanya, ia diikuti tiga kluster berkaitan institusi pendidikan iaitu Kluster Pandan Pandan, Putatan (14 kes), Kluster Jalan Pertukangan, Sandakan (sembilan kes dan Kluster Puri Ranau (sembilan kes).

“Kemunculan kluster di beberapa daerah turut mempengaruhi jumlah kes harian di daerah terbabit. Jumlah kes di Kinabatangan melonjak tinggi kepada 55 kes hari ini daripada satu kes sahaja semalam disebabkan penambahan 54 kes baharu daripada Kluster Sungai Trayon.

“Jangkitan di daerah Putatan turut meningkat kepada 21 kes hari ini berbanding lima kes semalam, manakala di Ranau meningkat kepada 12 kes berbanding enam kes semalam.

“Penstabilan Kluster Jalan Pertukangan di Sandakan pula mengurangkan kes harian di daerah itu daripada 74 kes semalam kepada 12 kes sahaja hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun yang positif Covid-19 mencatat jumlah agak agak tinggi hari ini iaitu 38 orang atau hampir 15 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

Selain itu, katanya seramai 29 orang (11.3 peratus) pesakit baharu yang didaftar hari ini didapati belum menerima vaksin.

“Kedua-dua statistik ini adalah satu gambaran bahawa masih ada dalam kalangan masyarakat yang cuai dengan mendedahkan anak kecil mereka kepada risiko jangkitan virus Covid-19 sedangkan mereka belum layak divaksin dan masih ramai orang yang sepatutnya layak menerima vaksin pula belum atau enggan divaksin,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 20 Januari 2022
Sabah 256 (242)

Kinabatangan 56 (1)
Kota Kinabalu 45 (33)
Tuaran 28 (23)
Putatan 21 (5)
Papar 18 (13)
Penampang 18 (18)
Ranau 12 (6)
Sandakan 12 (74)
Kota Marudu 10 (6)
Keningau 6 (7)
Beaufort 6 (7)
Lahad Datu 4 (2)
Kota Belud 4 (12)
Pitas 3 (0)
Tawau 3 (6)
Kuala Penyu 2 (2)
Beluran 2 (7)
Sipitang 2 (6)
Tenom 2 (3)
Tambunan 1 (7)
Kudat 1 (0)
Semporna 0 (1)
Telupid 0 (1)
Kunak 0 (0)
Nabawan 0 (0)
Tongod 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 19 Januari 2022

Kluster Baharu
Kluster Pandan Pandan,
Putatan 16 (+14)
(Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|