ADUN Bengkoka sediakan bot lebih besar untuk murid SK Mangkapon

ADUN Bengkoka sediakan bot lebih besar untuk murid SK Mangkapon

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Harun Durabi akan menyediakan sebuah bot yang lebih besar untuk kegunaan sekumpulan murid dari Kampung Pituru Timbang, Pitas berulang alik ke sekolah.

Beliau berkata, inisiatif itu diambil selepas satu pertemuan bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapon, Pitas, baru-baru ini.

Harun (bertopi) meninjau sendiri murid SK Mangkapon, Pitas yang menaiki bot sempit berulang alik ke sekolah.

“Lawatan saya ke kampung berkenaan membabitkan isu murid yang menaiki perahu sebagai pengangkutan utama mereka ke SK Mangkapon dari pangkalan sekolah berkenaan.

“Dalam lawatan itu, saya telah menyediakan peruntukan membeli bot yang lebih besar daripada bot yang biasa digunakan oleh sekumpulan murid di kampung berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar itu lagi, bot baharu itu dijangka akan diperoleh pada Mac depan.

“Bot itu sekurang-kurangnya dapat menjamin keselamatan 29 murid dari kampung ini untuk ke sekolah.

“Selain itu, Pejabat Daerah Pitas juga turut menyampaikan jaket keselamatan kepada murid berkenaan serta sedikit sumbangan dana kepada PIBG sekolah,” katanya.

Sebelum ini, tular satu hantaran bersama beberapa gambar menunjukkan sekumpulan murid bersesak di dalam sebuah bot tanpa memakai jaket keselamatan ke sekolah.

Keadaan itu mendapat perhatian daripada warganet yang bimbang dengan keselamatan kumpulan murid berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|