Covid-19 Sabah: Kes terus melonjak lepasi 3,000

Covid-19 Sabah: Kes terus melonjak lepasi 3,000

Kota Kinabalu: Sabah merekodkan kes harian melepasi paras 3,000 dengan catatan 3,333 kes baharu hari ini, iaitu antara jangkitan tertinggi pernah direkodkan sepanjang kira-kira dua tahun pandemik Covid-19 melanda negeri ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu membabitkan peningkatan tertinggi pernah direkodkan iaitu 1,264 daripada 2,069 kes yang dilaporkan semalam.

Bagaimanapun, katanya 3,318 kes (99.55 peratus) daripada 3,333 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti masing-masing enam kes dalam Kategori 3 dan Kategori 4, manakala tiga kes dalam Kategori 5.

Katanya, secara keseluruhan semua daerah di Sabah mencatat jangkitan baharu hari ini dengan 10 daerah merekodkan kes tiga angka berbanding tujuh daerah semalam.

“Daerah Kota Kinabalu mencatat jumlah jangkitan tertinggi sebanyak 591 kes, diikuti Sandakan (510 kes), Penampang (324 kes), Tuaran (266 kes), Papar (224 kes), Ranau (196 kes), Tawau (191 kes), Lahad Datu (169 kes), Beaufort (116 kes) dan Kota Marudu (102 kes).

“Sebanyak 15 daerah pula mencatat kes dua angka dan hanya dua daerah mencatat kes satu angka, manakala tiada daerah sifar kes hari ini,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Beliau berkata, perbandingan kes direkodkan di setiap daerah turut menunjukkan beberapa daerah mencatat pertambahan sehingga dua kali ganda berbanding semalam, malah ada yang mencatat peningkatan hingga empat kali ganda.

Katanya, hanya enam daerah didapati merekodkan penurunan kes namun masih mencatatkan angka yang tinggi kecuali daerah Kalabakan.

“Jumlah kes melalui saringan bergejala yang sinonim dengan jangkitan sporadik juga amat tinggi, iaitu 1,724 kes atau hampir 52 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini.

“Sejumlah 185 kes baharu berpunca daripada 30 kluster yang masih aktif dengan 22 daripadanya adalah kluster institusi pendidikan. Hari ini, tiga lagi kluster baharu pendidikan diisytiharkan di Beluran, Keningau dan Kinabatangan,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 9 Februari 2022
Sabah 3,333 (2,069)

Kota Kinabalu 591 (395)
Sandakan 510 (267)
Penampang 324 (161)
Tuaran 266 (192)
Papar 224 (161)
Ranau 196 (82)
Tawau 191 (113)
Lahad Datu 169 (137)
Beaufort 116 (74)
Kota Marudu 102 (48)
Kinabatangan 96 (18)
Kota Belud 90 (63)
Kunak 73 (24)
Keningau 57 (60)
Semporna 54 (24)
Kuala Penyu 51 (59)
Telupid 45 (29)
Sipitang 36 (39)
Beluran 33 (23)
Tongod 19 (0)
Kudat 18 (30)
Nabawan 17 (6)
Putatan 17 (39)
Tambunan 15 (13)
Tenom 15 (6)
Pitas 7 (4)
Kalabakan 1 (2)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 8 Februari 2022

Kluster Baharu

  1. Kluster Simpangan Paitan,
    Beluran 23(+17)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  2. Kluster Access Menawo,
    Keningau 12(+12)
    (Kluster Institusi Pendidikan)

3.Kluster Bukit Garam,
Kinabatangan 47(+46)
(Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|