12 Mac hari mengundi PRN Johor

12 Mac hari mengundi PRN Johor

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh mengundi biasa bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan hari ini sebagai tarikh keluar writ pilihan raya, manakala 26 Februari ini hari penamaan calon.

Katanya, tarikh pengundian awal di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri itu pula ditetapkan pada 8 Mac depan.

Beliau berkata, SPR menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), iaitu Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari lalu untuk PRN berkenaan.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi 2,597,742 orang pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 orang pengundi biasa, 10,955 orang anggota tentera dan pasangan, 11,576 orang anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara. DPPR tersebut akan mula dijual pada 21 Februari 2022 (Isnin).

“Pengundi juga boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR pengundi.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan boleh dibuat mulai 21 Februari 2022 (Isnin),” katanya.

PRN Johor diadakan seleaps SPR secara rasmi menerima notis daripada Speaker DUN Johor berhubung pembubaran DUN penggal yang ke-14 pada 23 Januari 2022 berdasarkan Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, SPR dijangka membelanjakan kira-kira RM96 juta untuk mengadakan PRN Johor bagi membiayai kos pilihan raya termasuk pelantikan seramai 49,290 orang petugas.

Katanya, sebanyak 1,021 pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,638 tempat mengundi atau saluran dan 63 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 82 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan pada PRN itu.

SPR menyasarkan kira-kira 70 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|