Covid-19 Sabah: Kes harian turun, kembali stabil

Covid-19 Sabah: Kes harian turun, kembali stabil

Kota Kinabalu: Jumlah kes harian Covid-19 di Sabah turun 46 kes kepada 172 kes hari ini, berbanding sebanyak 218 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah kes harian di kebanyakan daerah kembali stabil dengan tujuh daerah sahaja mencatat kes baharu dua angka berbanding sembilan daerah semalam.

Katanya, Kota Kinabalu mencatat jumlah tertinggi sebanyak 31 kes hari ini tetapi menunjukkan penurunan sebanyak tiga berbanding 34 kes semalam.

“Kes di Papar pula naik sembilan kes kepada 21 kes dan di Ranau bertambah 14 kes kepada 21 kes kebanyakannya berpunca daripada dua kluster yang aktif di daerah itu.

“Tuaran pula mencatat penurunan kepada 11 kes sahaja hari ini berbanding 37 kes semalam. Sebanyak 10 daerah tidak mencatat sebarang kes baharu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sementara itu, Masidi berkata terdapat 24 kes baharu daripada lima kluster aktif di Sabah pada hari ini.

Katanya, kluster penyumbang terbanyak ialah Kluster Jalan Bypass Kologon, Ranau dengan 10 kes positif baharu diikuti lima kes daripada Kluster Jalan Pertukangan Sandakan.

“Satu lagi kluster institusi pendidikan di Ranau, iaitu Kluster Puri pula merekodkan empat kes positif baharu hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, jumlah jangkitan yang melibatkan kanak-kanak bawah umur 12 tahun iaitu belum layak menerima vaksin agak tinggi hari ini dengan seramai 32 orang atau 18.6 peratus daripada jumlah kes harian di Sabah.

“Sekali lagi semua ibu bapa dan pengurusan sekolah diseru mengambil langkah yang perlu untuk meningkatkan keselamatan anak kecil daripada jangkitan,” katanya.

Sebanyak 168 daripada 172 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, dan masing-masing satu kes dalam Kategori 3 dan Kategori 4, manakala dua kes dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 23 Januari 2022
Sabah 172 (218)

Kota Kinabalu 31 (34)
Papar 21 (12)
Ranau 21 (7)
Beaufort 19 (10)
Penampang 17 (19)
Sandakan 17 (21)
Tuaran 11 (37)
Kota Belud 7 (5)
Tenom 6 (7)
Kuala Penyu 5 (4)
Putatan 5 (17)
Kota Marudu 3 (13)
Tawau 3 (13)
Lahad Datu 2 (1)
Keningau 2 (6)
Semporna 1 (1)
Beluran 1 (0)
Tambunan 0 (1)
Telupid 0 (1)
Kinabatangan 0 (1)
Kunak 0 (2)
Nabawan 0 (0)
Sipitang 0 (6)
Pitas 0 (0)
Tongod 0 (0)
Kalabakan 0 (0)
Kudat 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 22 Januari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|