Tiga parti politik ‘bertembung’ ketika ‘walkabout’ sempena Tahun Baharu Cina di Gaya Street

Tiga parti politik ‘bertembung’ ketika ‘walkabout’ sempena Tahun Baharu Cina di Gaya Street

Kota Kinabalu: Suasana di Tamu Jalan Gaya hari ini meriah apabila tiga rombongan parti politik hadir dan saling bertembung ketika ‘walkabout’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan menjelang minggu depan.

Tiga parti politik berkenaan ialah Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Warisan (WARISAN) dan DAP.

Joniston (kiri) bertembung dengan Foong Hin (dua kanan) ketika ‘walkabout’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Tamu Jalan Gaya, Kota Kinabalu.

Rombongan PBS diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Dr Yee Moh Chai dan disertai Setiausaha Agung, Datuk Joniston Bangkuai serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN Matunggong, Datuk Julita Majungki.

WARISAN pula diketuai oleh Presidennya sendiri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ditemani Naib Presiden yang juga ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong; Ketua Wira yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman serta Ketua Penerangan yang juga ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.

Mohd Shafie (tiga dari kanan) ketika bertemu Julita (tiga kiri) dan Joniston (dua kiri) dari PBS ketika walkabout sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Tamu Jalan Gaya, Kota Kinabalu.

Sementara itu, ‘walkabout’ DAP pula diketui oleh Setiausaha DAP Sabah yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin.

Keadaan pasar minggu itu sedikit sibuk apabila setiap rombongan parti masing-masing menyantuni peniaga dan pengunjung dengan memberikan kelendar, limau mandarin dan beg berisi barangan makanan sepanjang walkabout dilakukan.

Mohd Shafie menyampaikan limau mandarin kepada peniaga dengan disaksikan Joniston ketika ‘walkabout’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Tamu Jalan Gaya, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Joniston yang juga ADUN Kiulu melihat ‘pertembungan’ itu sebagai sesuatu yang positif dan setiap parti tidak perlu saling berkelahi.

“Apa perlu kita mahu bercakaran, semua pun satu tujuan. Kerjasama saja, mana yang kita boleh kerjasama, kita kerjasama. Mana yang tidak ngam, apa boleh buat.

Mohd Shafie dan Joniston saling bertukar buah tangan ketika bertembung pada ‘walkabout’ sempena sambutan Tahun Baru Cina di Tamu Jalan Gaya, Kota Kinabalu.

“Kita harus mesra dengan dengan semua orang,” katanya ketika ditemui selepas menyertai ‘walkabout’ berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menyifatkan ‘turun padang’ bukan hanya pada waktu perayaan yang mengikut musim tetapi juga ketika rakyat dilanda bencana termasuk banjir dan kebakaran.

Foong Hin memberikan beg berisi barangan makanan kepada Mohd Shafie ketika bertembung di Tamu Jalan Gaya.

“Kita bukan beri bantuan ini bermusim, kebakaran di Penampang, di Sugud, Kota Marudu, di Sandakan, kita beri bantuan. Bukan musim perayaan lagi-lagi apabila bencana datang.

“Kita harus terpanggil untuk membantu menyediakan (bantuan). Hari ini, kehadiran kita daripada semua pihak (parti) bukan hanya WARISAN dan lain-lain.

“Maknanya kemesraaan dari penyatuan rakyat. Jangan kita benci kerana kita berbeza ideologi politik, itu hak mereka. Mereka boleh bercakap sesuka hati di Parlimen, itu hak mereka. Kita tidak boleh kata jangan buat itu, jangan buat ini,” katanya.

Sementara itu, Foong Hin dilihat turut membawa bungkusan beg berisi makanan dengan menggunakan troli untuk diagihkan kepada peniaga dan pengunjung di sepanjang Tamu Jalan Gaya.

Tamu Jalan Gaya yang beroperasi setiap hari Ahad antara lokasi tarikan pengunjung tempatan dan pelancong yang berkunjung ke Kota Kinabalu.

Pasar hujung minggu yang berpusat di tengah bandar itu mengumpulkan peniaga yang menjual pelbagai jenis barangan daripada makanan sehingga tumbuh-tumbuhan, haiwan peliharaan dan kraftangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|