Bersifat terbuka, jangan dakwa sesuka hati – Calvin Chong

Bersifat terbuka, jangan dakwa sesuka hati – Calvin Chong

Sandakan: Bersikap terbuka dan jangan dakwa sesuka hati, nasihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong kepada Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Calvin berkata, Frankie tidak seharusnya sewenang-wenangnya menuduh tanpa asas dan sebaliknya menerima keputusannya meninggalkan DAP dengan terbuka.

Katanya, sifat ‘Godfather’ diamalkan Frankie seharusnya diketepikan apabila kebanyakan barisan pemimpin DAP sebelum ini memilih untuk keluar parti kerana alasan yang sama.

“Banyak pemimpin keluar meninggalkan parti selepas DAP Sabah sudah seperti hilang arah selain mengalami perbalahan dalaman akibat masalah komunikasi.

“Beliau sepatutnya tidak perlu berdolak-dalih mengenai hal ini, saya dan YB Justin dan bekas senator Adrian Lasimbang keluar dari DAP kerana mahu pembelaan rakyat yang lebih inklusif bukan mahu lompat kemana-mana,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Calvin bersama ADUN Sri Tanjong, Justin Wong dan bekas Senator DAP, Adrian Lasimbang sebelum ini mengumumkan keluar DAP kerana kecewa dengan kepemimpinan DAP Sabah di bawah Frankie.

Calvin turut membidas dakwaan Frankie, bahawa mereka meninggalkan DAP kerana mendahului Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat, yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan dan Mac ini.

Menurutnya, keputusan meninggalkan parti adalah kerana kepercayaan terhadap pemimpin parti itu pudar ekoran cara pimpinan Frankie dan bukan kerana unsur yang lain.

Sementara itu, Calvin turut mempersoalkan tindakan ADUN Tanjong Papat itu yang meminta dirinya dan ADUN Sri Tanjong, Justin Wong supaya meletakkan jawatan sebagai ADUN hanya kerana mereka meninggalkan DAP.

“Adakah salah jika saya dan Justin mahu berkhidmat untuk rakyat sebagai ADUN bebas? Mengapa itu pula yang dirisaukan Frankie.

“Sepatutnya beliau sedar akan isu yang sebenar sedang berlaku di dalam parti ini. Jika pemimpinnya baik dalam memimpin, sudah tentu ahlinya tidak akan meninggalkan parti,” katanya.

Calvin berkata, mereka meninggalkan parti kerana mahu berjuang untuk rakyat Sabah untuk dapat memberi lebih autonomi, infrastruktur yang lebih baik serta bersifat masyarakat inklusif mengatasi bangsa dan agama.

Katanya, tiada unsur pencabulan terhadap mandat yang diberikan oleh rakyat khususnya pengundi di kawasan Elopura kerana kesungguhan beliau berkhidmat untuk rakyat tidak pernah terbelah bahagi dan akan terus kekal sebegitu.

“Walaupun sering diketepikan parti, namun kami tetap bertahan dan berjuang demi DAP Sabah sejak 2012 terutamanya kerana perjuangannya untuk rakyat.

“Walaupun pernah dipinggirkan tetapi saya tetap bersabar kerana matlamat saya di sini sebagai wakil rakyat adalah untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

“Walaupun saya tidak lagi berada dalam DAP Sabah, saya tetap bekerja sebagai ADUN bebas untuk rakyat khususnya di Elopura,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|