Lebih 500 kekosongan kerja ditawarkan di Sandakan

Lebih 500 kekosongan kerja ditawarkan di Sandakan

Sandakan: Kerajaan melakukan pelbagai tindakan untuk membantu golongan yang terbeban berikutan pandemik Covid-19 termasuk mengadakan karnival kerjaya yang menawarkan lebih 500 kekosongan kerja di daerah ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan, berkata sebanyak 17 syarikat tampil menawarkan kekosongan jawatan masing-masing melalui karnival kerjaya yang diadakan hari ini.

“Saya berharap semua belia dan beliawanis akan berjaya mendapat pekerjaan pada sesi temuduga terbuka pada hari ini,” katanya ketika menyempurnakan Karnival Kerjaya Perdana 2022 Sandakan, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut menyediakan saluran mencari pekerjaan melalui Sabah Jobs Portal iaitu portal yang dinisiatifkan kerajaan negeri sebagai alternatif menemukan majikan dan pencari kerja.

Katanya, setakat ini Sabah Jobs berjaya mendaftarkan sebanyak 88 majikan dan seramai 960 pencari kerja dengan sebanyak 79 kekosongan jawatan telah dalam pelbagai bidang diiklankan ketika ini.

“Terdapat 2,667 individu dilaporkan hilang pekerjaan di Sabah dalam tempoh Januari hingga 5 November 2021. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran golongan belia
berumur bawah 24 tahun di Sabah adalah 17.3 peratus.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai program sebagai inisiatif bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai termasuk karnival kerjaya, program insentif pengambilan pekerja,
program latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran melalui penyedia latihan yang dilantik seperti mana yang telah dilaksanakan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM),” katanya.

Yakub berkata, kerajaan juga menyediakan platform peluang pekerjaan melalui MyFutureJobs yang boleh dimanfaatkan setiap pencari kerja terutama golongan belia.

Tambahnya, kerajaan turut memperluas
program latihan pekerjaan atau perantisan bagi peningkatan kemahiran, latihan semula dan silang kemahiran ke Sabah.

“Sehingga tahun 2021, daripada 44,843 siswazah yang terbabit di seluruh negara, 1,228 orang adalah dari negeri Sabah.

“Di bawah sistem latihan Dual Nasional iaitu 70 peratus latihan industri dan 30 peratus latihan di pusat latihan, sebanyak 21 pusat latihan dan 109 syarikat di Sabah terbabit melaksanakannya,” katanya.

Katanya, kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif, insentif penggajian jamin kerja dengan sasaran 300,000 orang dan peruntukan RM2 bilion.

Menerusi inisiatif itu, katanya kerajaan juga akan memberi insentif kepada majikan yang mengambil keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja, iaitu
sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

“Bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti golongan istimewa OKU, orang asli dan banduan pula, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,200 ke atas.

“Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|