Anggota MOSAR, malim gunung selamatkan pendaki diserang hipotermia

Anggota MOSAR, malim gunung selamatkan pendaki diserang hipotermia

Ranau: Seorang pendaki terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kesejukan melampau dan kekejangan otot dalam kejadian di Kilometer 3 laluan pendakian Gunung Kinabalu, di Kundasang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, wanita berusia 38 tahun terbabit dilaporkan mengalami kesukaran bergerak dan perlu mendapatkan bantuan bagi membawanya turun.

Pendaki wanita diiringi turun oleh pasukan penyelamat selepas mengalami kekejangan otot dan kesejukan melampau ketika mendaki Gunung Kinabalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung situasi itu pada jam 4.24 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan malim gunung dikerah ke lokasi mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya diiringi turun ke ‘Timpohon Gate’ oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Penginapan Mesilou (Bridge House) oleh pasukan EMRS JBPM.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.21 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|