Covid-19 Sabah: Kes baharu melonjak semula hari ini

Covid-19 Sabah: Kes baharu melonjak semula hari ini

Kota Kinabalu: Jangkitan Covid-19 di Sabah kembali mencatat peningkatan yang tinggi dengan kenaikan sebanyak 921 kes kepada 4,892 kes hari ini, berbanding 3,971 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah Kota Kinabalu mencatat kes baharu lebih dua kali ganda berbanding semalam dengan 1,947 kes hari ini.

Jumlah itu katanya membabitkan peningkatan sebanyak 1,212 kes, namun sebahagian besar daripadanya dipengaruhi kes lewat daftar yang tinggi.

“Sejumlah 1,214 daripada 1,947 kes di Kota Kinabalu adalah kes jangkitan ‘backlogs’ yang berlaku enam hari atau lebih lama tetapi hanya dapat didaftarkan pada hari ini.

“Sembilan daerah lagi merekodkan kes tiga angka iaitu Tuaran (425), Penampang (415), Papar (290), Tawau (208), Kota Belud (207), Beaufort (194), Sandakan (192), Keningau (144) dan Lahad Datu (100),” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata sebanyak 16 daerah mencatat kes dua angka, manakala Kalabakan menjadi daerah tunggal yang mencatat kes satu angka hari ini.

Katanya, walaupun hanya 10 daerah mencatat peningkatan kes, namun jumlah angka jangkitan baharu di Sabah melambung tinggi akibat jumlah kes di Kota Kinabalu yang berjumlah hampir 2,000.

“Sebanyak 99.53 peratus atau 4,869 daripada 4,892 kes berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala lima kes dalam Kategori 3, diikuti 13 kes dalan Kategori 4 dan lima kes lagi dalam Kategori 5,” katanya.

Sementara itu, katanya setakat ini, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) Sabah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 34,713 kanak-kanak daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang layak untuk divaksin.

Beliau berkata, sebanyak 531 kes positif Covid-19 hari ini membabitkan kanak-kanak bawah 11 tahun yang belum divaksin termasuk 241 kes kanak-kanak yang belum layak mendapat vaksin, iaitu berumur bawah lima tahun.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 24 Februari 2022
Sabah 4,892 (3,971)

Kota Kinabalu 1,947 (735)
Tuaran 425 (410)
Penampang 415 (516)
Papar 290 (320)
Tawau 208 (338)
Kota Belud 207 (154)
Beaufort 194 (153)
Sandakan 192 (198)
Keningau 144 (155)
Lahad Datu 100 (129)
Kota Marudu 93 (135)
Kuala Penyu 85 (57)
Ranau 79 (105)
Telupid 69 (41)
Nabawan 64 (27)
Beluran 54 (42)
Tenom 54 (63)
Tambunan 53 (19)
Kudat 49 (9)
Sipitang 48 (52)
Pitas 33 (59)
Putatan 22 (150)
Kunak 19 (32)
Kinabatangan 18 (19)
Semporna 13 (14)
Tongod 13 (32)
Kalabakan 4 (7)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 23 Februari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|