Bincang isu keselamatan, ekonomi bersama perwakilan BIMP-EAGA

Bincang isu keselamatan, ekonomi bersama perwakilan BIMP-EAGA

Kota Kinabalu: Isu keselamatan dan pembangunan ekonomi menjadi topik perbincangan pada pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dengan perwakilan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur- Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) Sabah, di sini, hari ini.

Maximus berkata, perbincangan selama kira-kira dua jam itu antara lain menyentuh mengenai kehadiran ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dan pekerja asing dari negara jiran serta perkembangan terkini BIMP-EAGA.

Maximus menerima kunjungan hormat perwakilan BIMP-EAGA Sabah yang diketuai Pandikar Amin di Kota Kinabalu.

“Perbincangan turut menyentuh cadangan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Nusantara di Kalimantan dan kesan limpahan ekonomi ke atas Sabah serta cabaran yang akan datang. Kita akan membuat lawatan ke sana tidak lama lagi.

“Selain itu, kita juga melihat potensi industri kelapa di Selatan Filipina,” katanya selepas menerima kunjungan hormat perwakilan BIMP-EAGA Sabah yang diketuai oleh Perutusan Khasnya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Jonnybone Kurum.

Maximus berkata Sabah dan Sarawak memainkan peranan utama dalam menghidupkan semula BIMP-EAGA sebagai penyelesaian untuk pemulihan sosio ekonomi yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri dari segi ekonomi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|