Covid-19 Sabah: Jangkitan baharu terus menunjukkan penurunan

Covid-19 Sabah: Jangkitan baharu terus menunjukkan penurunan

Kota Kinabalu: Jangkitan baharu Covid-19 Sabah terus menunjukkan trend penurunan dengan sebanyak 1,515 kes direkodkan hari ini, berkurang 263 kes berbanding 1,778 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kota Kinabalu kekal menjadi penyumbang utama jangkitan baharu dengan 479 kes, diikuti Tuaran (133 kes) dan Penampang (103).

Katanya, daerah lain hanya mencatat kes baharu dua angka kecuali Semporna, Kunak dan Kalabakan yang mencatat kes satu angka.

“Bagaimanapun, terdapat pertambahan kes baharu di 10 daerah dengan Tambunan merekodkan pertambahan tertinggi sebanyak 25 kes.

“Selain Penampang yang merekodkan penurunan kes tertinggi sebanyak 103 kes, Beaufort juga mencatat penurunan yang agak besar dengan pengurangan sebanyak 54 kes berbanding semalam,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Masidi bagaimanapun mengingatkan penurunan jumlah kes baharu secara keseluruhan tidak harus melalaikan masyarakat daripada mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa.

“Trend menurun boleh dengan cepat bertukar sebaliknya, apatah lagi dengan mengambil kira peratusan jangkitan sporadik kekal tinggi, iaitu 62.71 peratus daripada semua kes hari ini.

“Situasi sekarang hanya boleh bertahan sekiranya semua kita mematuhi secara konsisten semua SOP dan saranan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,498 atau 98.88 peratus daripada 1,515 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, lima kes dalam Kategori 3, tujuh kes dalam Kategori 4 dan lima kes dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 6 Mac 2022
Sabah 1,515 (1,778)

Kota Kinabalu 479 (511 )
Tuaran 133 (168)
Penampang 103 (206)
Papar 87 (97)
Keningau 76 (77)
Tawau 68 (91)
Kota Marudu 64 (54)
Kota Belud 49 (83)
Kuala Penyu 45 (26)
Sandakan 43 (54)
Tambunan 41 (16)
Tenom 38 (41)
Sipitang 37 (59)
Beaufort 32 (86)
Kudat 32 (11)
Ranau 30 (24)
Putatan 28 (15)
Lahad Datu 24 (46)
Pitas 23 (17)
Beluran 18 (18)
Nabawan 18 (17)
Telupid 12 (10)
Kinabatangan 12 (9)
Tongod 12 (20)
Semporna 6 (6)
Kunak 4 (4)
Kalabakan 1 (12)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 5 Mac 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|