Ceroboh kawasan KKIA, lelaki dipenjara 12 bulan

Ceroboh kawasan KKIA, lelaki dipenjara 12 bulan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan bermula tarikh tangkap, hari ini, selepas didapati bersalah kerana menceroboh masuk kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), 27 November lalu.

Tertuduh turut diarahkan supaya dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman untuk tindakan selanjutnya.

Keputusan itu dibuat Majistret Jessica Ombou Kakayun terhadap terhadap Alsid Patulla, 30 tahun, yang dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pengakuan tertuduh, dalam kejadian jam 9.50 malam itu, dia yang berasal dari daerah Semporna tidak mempunyai tiket penerbangan namun mahu ke Kuala Lumpur bagi mencari saudaranya.

Tertuduh mengaku memanjat pagar dan masuk ke kawasan KKIA sebelum berjalan sejauh tujuh kilometer untuk mendekati pesawat Air Asia AK 5303 yang akan berlepas ke Johor Bharu.

Tertuduh kemudiannya cuba menaiki pesawat berkenaan namun berjaya dihalang pengawal keselamatan yang bertugas sebelum dibawa ke Balai Polis KKIA untuk tindakan selanjutnya.

Pendakwaan kes dijalankan Inspektor Albert Basiri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|