Persidangan DUN: Tuntutan 40 peratus hasil negeri diteruskan – Hajiji

Persidangan DUN: Tuntutan 40 peratus hasil negeri diteruskan – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri tetap menuntut pengembalian 40 peratus hasil Sabah yang dikutip kerajaan persekutuan di negeri ini.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi Kementerian Kewangan negeri pada Persidangan DUN, hari ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan negeri menerima wang pemberian khas daripada kerajaan persekutuan, ia tetap menuntut perkara itu sejajar peruntukan perlembagaan.

Katanya, tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu turut disuarakan pada perjumpaan pertamanya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dapat diberikan perhatian yang sewajarnya.

“Dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri yang baharu, baru-baru ini, beliau memberi jaminan untuk menimbangkan secara serius tuntutan Sabah dalam MA63 ini.

“Itu yang kita utamakan kepada beliau (Perdana Menteri) dan saya akan bawa sekali lagi perkara ini kerana ia sudah lama berpanjangan.

“InsyaAllah, kalau saya masih Ketua Menteri, saya akan terus suarakan (tuntutan 40 peratus),” katanya menjawab celahan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Datuk Darell Leiking (WARISAN – Moyog) dan Assafal P Alian (WARISAN – Tungku) membangkitkan isu pewartaan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D Negeri Sabah) 2022 yang dikuatkuasakan mulai April lalu hingga 2026.

Menerusi warta berkenaan, pemberian khas untuk Sabah ditingkatkan kepada RM125.6 juta setahun atau 4.7 kali ganda berbanding RM26.7 juta setahun sejak 1969.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata warta berkenaan bukan untuk menghapuskan tuntutan 40 peratus yang dituntut kerajaan negeri.

“Soal pewartaan itu adalah untuk membolehkan kerajaan persekutuan membayar pemberian khas kepada Sabah bermula pada tahun ini hingga 2026, bukan untuk menghapuskan 40 peratus yang kita tuntut.

“Saya menjelaskan dalam mesyuarat (Majlis Khas MA63) bahawa tuntutan 40 peratus ini tiada kaitan dengan pemberian khas. Kita ada mengeluarkan kenyataan bersama pada 14 April 2022 mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Parti Warisan (WARISAN) sebelum inipun bersetuju dengan pemberian khas berkenaan, malah jumlah yang diberikan ketika itu lebih rendah berbanding sekarang.

Katanya, kekeliruan timbul apabila dokumen pewartaan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D Negeri Sabah) 2022 disalah tafsir oleh beberapa pihak.

“Bagi membolehkan pembayaran interim tersebut dibuat, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D Negeri Sabah) 2022 perlu diwartakan. Ini jelas adalah untuk membolehkan pembayaran interim saja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap tiada lagi kekeliruan dan salah faham berhubung tuntutan berkenaan selain tidak diputarbelit hingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|