Calvin nafi sertai BERSATU

Calvin nafi sertai BERSATU

Sandakan: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun yang keluar DAP baru-baru ini menafikan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) seperti yang tular di media sosial.

Katanya, dakwaan itu timbul selepas gambar beliau bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu pertemuan baru-baru ini tular, kononnya untuk menyertai parti berkenaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pertemuan dengan Hajiji adalah untuk menjalankan tugas sebagai ADUN dan bukan untuk melompat parti ke Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau BERSATU.

“Saya berjumpa Ketua Menteri kerana terlalu banyak isu sara hidup rakyat yang perlu dibangkitkan dan saya juga mengemukakan beberapa jalan penyelesaian serta rancangan pembangunan.

“Ini termasuk penubuhan pelabuhan perdagangan bebas dan ianya adalah untuk pembangunan Sandakan pada masa hadapan. Saya bukan bertemu beliau untuk kepentingan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Calvin berkata, antara isu lain yang dibangkitkan ketika bertemu Hajiji ialah isu Terminal Bas Bersepadu Sandakan, Pasar Muhibbah, Cukai Jualan Negeri (CJN) nelayan kecil semakin tersepit, pendatang tanpa izin (PATI) dan 13 projek pembinaan jalan pintas yang dicadangkan sebelum ini.

“Ia menjadi kewajipan bagi seorang penggubal undang-undang negeri untuk berjumpa dengan Ketua Menteri dan membincangkan isu-isu suara rakyat dan mencari jalan penyelesaiannya, bukan untuk melompat parti seperti yang dikhabarkan,” katanya.

Calvin bersama ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan bekas Senator DAP, Adrian Lasimbang mengumumkan keluar DAP pada pertengahan Januari lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|