Covid-19 Sabah: Tujuh kluster termasuk enam berkaitan institusi pendidikan tamat hari ini

Covid-19 Sabah: Tujuh kluster termasuk enam berkaitan institusi pendidikan tamat hari ini

Kota Kinabalu: Sebanyak tujuh kluster Covid-19 di Sabah diisytiharkan tamat hari ini, menjadikan hanya 31 lagi kluster aktif yang dilaporkan di seluruh negeri sejak Januari lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata enam daripada kluster yang ditamatkan itu adalah berkaitan institusi pendidikan, manakala satu lagi kluster berisiko tinggi.

Katanya, enam kluster berkaitan institusi pendidikan terbabit ialah Kluster Jalan Pertukangan (Sandakan), Kluster Teritipan (Kota Marudu), Kluster Lorong Api-Api (Kota Kinabalu), Kluster Jalan Sri Balung (Tawau), Kluster Jalan Pendidikan Ranau (Ranau) dan Kluster Sungai Batang Batu 10 (Sandakan).

“Satu lagi kluster yang ditamatkan ialah kluster berisiko tinggi iaitu Kluster Montenior (Beaufort). Baki jumlah kluster yang masih aktif di seluruh negeri Sabah ialah 31 kluster,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sementara itu, katanya jangkitan baharu Covid-19 di Sabah turun lagi sebanyak 19 kes kepada 1,216 kes hari ini berbanding 1,235 kes semalam.

Bagaimanapun, Masidi berkata kedudukan itu tidak semestinya mencerminkan Sabah berada dalam fasa penstabilan.

“Ini kerana hanya 12 daerah daripada 27 daerah di negeri ini mencatatkan penurunan kes baharu sedangkan 15 daerah lain merekodkan pertambahan.

“Peratusan jumlah kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik juga kekal tinggi iaitu 64.06 peratus daripada jumlah keseluruhan. Jumlah ini hampir dua pertiga daripada jumlah kes baharu di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, tiga daerah mencatat kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu dengan 284 kes, Penampang (137 kes) dan Papar (110 kes).

Katanya, 19 daerah lain mencatat kes dua angka dan tiga daerah mencatatkan kes baharu satu angka, manakala daerah Kunak dan Tongod tidak merekodkan sebarang kes baharu hari ini.

“Adalah diperhatikan terdapat pertambahan kes baharu yang agak banyak di beberapa daerah yang mencatatkan kes baharu dua angka. Antaranya ialah Keningau 75 kes (+31), Sandakan 49 kes (+24), Kota Belud 47 kes (+20) dan Putatan 39 kes (+25).

“Sebanyak 1,199 atau 98.6 peratus daripada 1,216 kes baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3, manakala 11 kes dalam Kategori 4 dan tiga kes lagi dalam Kategori 5,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 8 Mac 2022
Sabah 1,216 (1,235)

Kota Kinabalu 284 (352)
Penampang 137 (128)
Papar 110 (141)
Tuaran 82 (117)
Keningau 75 (44)
Tawau 51 (46)
Sandakan 49 (25)
Kota Belud 47 (27)
Beaufort 43 (49)
Tenom 39 (25)
Putatan 39 (14)
Tambunan 34 (29)
Kota Marudu 32 (33)
Sipitang 32 (41)
Kudat 31 (17)
Kuala Penyu 27 (26)
Telupid 23 (11)
Ranau 17 (18)
Pitas 15 (13)
Beluran 14 (8)
Lahad Datu 12 (26)
Kinabatangan 11 (10)
Nabawan 8 (11)
Semporna 3 (2)
Kalabakan 1 (11)
Kunak 0 (3)
Tongod 0 (8)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 7 Mac 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|