Cadang guna ‘top-up’, prabayar dapatkan bekalan air, elektrik

Cadang guna ‘top-up’, prabayar dapatkan bekalan air, elektrik

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah pada dasarnya sudahpun meluluskan kaedah menggunakan kad tambah nilai atau ‘top-up’ untuk mendapatkan bekalan terutama di kawasan setinggan di negeri ini.

Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kaedah itu dicadangkan untuk mengatasi masalah kecurian elektrik dan air yang masih berleluasa, khususnya di kawasan setinggan.

“Kerajaan negeri pada dasarnya telah meluluskan untuk membekalkan elektrik di kawasan setinggan menggunakan kaedah kad prabayar.

“Maksudnya, sesiapa mahu menggunakan elektrik, mereka perlu membeli kad prabayar, ‘top-up’ dan boleh menyambung meter elektrik untuk diri sendiri.

“Namun, ini terserah kepada pengguna kalau penggunaan yang banyak, kena tambah nilai yang banyak dan begitulah sebaliknya,” katanya ketika ditemui media di Bangunan UMNO, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung masalah kecurian elektrik yang berlaku di negeri ini terutama di kawasan setinggan.

Tambah beliau lagi, kaedah itu juga dicadangkan untuk bekalan air di kawasan setinggan bagi mengelak kecurian atau penyambungan paip secara haram di negeri ini.

“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kini sedang membuat siri pemotongan sambungan air haram dan saya mencadangkan perlu ada mekanisme baharu dengan membekalkan air ke kawasan setinggan menggunakan kad prabayar ini.

“Melalui kaedah ini, sudah tentu tiada kecurian air sebab bila kita bekalkan air di kawasan setinggan, tidak ada alasan untuk mereka mencuri atau memecahkan paip untuk membuat sambungan air atau elektrik secara haram,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata sebagai agensi menjalankan perniagaan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan JANS perlu mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan perkhidmatan disediakan dibayar mengikut kadar ditetapkan.

“Melalui kaedah ini, unsur-unsur tiada pulangan hasil itu berkurangan kalau tidak JANS akan berniaga 60 peratus air saja, manakala 40 peratus lagi hilang.

“Jadi bagaimana mahu berniaga, pihak berkuasa tempatan (PBT) pun ada cadangan tidak akan membekalkan fasiliti kepada setinggan namun saya kata ini berlanggar dengan polisi SESB dan JANS kerana dua agensi ini berniaga.

“Sudah tentu kita perlu memberikan apa juga keperluan kepada rakyat dan di dalam kawasan setinggan pula ini ada rakyat tempatan dan bukan tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan perlu adanya penggunaan kad tambah nilai berkenaan sebagai salah satu jalan penyelesaian untuk mengelak kegiatan curi bekalan air dan elektrik di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|