DBKK arah penutupan gerai untuk pembersihan

DBKK arah penutupan gerai untuk pembersihan

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sudah mengarahkan gerai yang tular di laman sosial ekoran seekor anjing naik ke atas meja dan menjilat piring ditinggalkan supaya ditutup untuk pembersihan.

Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, pihaknya sudah mengambil maklum isu berkaitan yang dilaporkan berlaku di gerai Anjung Perdana, Teluk Likas, di sini, baru-baru ini.

Katanya, gerai berkenaan diarahkan tutup serta-merta selama seminggu untuk pembersihan dan menyamak peralatan di gerai berkenaan.

“Kerja-kerja pembersihan peralatan di gerai berkenaan sedang giat dilaksanakan oleh peniaga terbabit.

“Unit vektor Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) juga mengambil tindakan serta merta menangkap anjing-anjing yang berkeliaran di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu katanya, setiap penyewa gerai bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan di kawasan gerai masing-masing sentiasa terjaga.

Katanya, pihak DBKK berharap, kejadian seumpama ini tidak akan berulang lagi di masa akan datang untuk keselesaan dan keselamatan kesihatan orang ramai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|