Beaufort: Kejadian angin kencang dan hujan lebat yang melanda daerah ini menyebabkan bumbung dua rumah dan perpustakaan, di Membakut, di sini, rosak.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya turut menerima makluman sebuah tiang elektrik tumbang di atas jalan raya.
Katanya, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jalan raya sebaliknya hanya menyebabkan kesesakan jalan.

“Kejadian dilaporkan berlaku selepas keadaan cuaca hujan lebat beserta angin kencang melanda daerah ini.
“Setakat ini tiada laporan polis diterima dari Balai Polis Membakut namun pemantauan dari semasa ke semasa akan terus dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati terutamanya ketika hujan lebat dan angin kencang.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan segera.
-Deasoka