Perubahan cuaca tanpa dijangka punca pendaki terperangkap – TTS

Perubahan cuaca tanpa dijangka punca pendaki terperangkap – TTS

Kota Kinabalu: Perubahan cuaca luar jangka yang berlaku menyebabkan sekumpulan pendaki Gunung Kinabalu terpaksa berdepan situasi genting.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Maklarin Lakim berkata, bagaimanapun semua pendaki yang terlibat berjaya dibawa turun dengan selamat.

Katanya, pada hari kejadian, aktiviti pendakian dimulakan seperti biasa iaitu pada jam 2.30 pagi dalam keadaan cuaca yang amat baik.

“Walaubagaimanapun, keadaan cuaca mula bertukar pada jam 6 pagi apabila hujan lebat dan angin kuat berlaku secara tiba-tiba.

“Para pendaki yang diiringi oleh kumpulan malim gunung kemudiannya dibawa turun melalui aliran air seperti yang dipaparkan dalam sebuah video tular. Semua pendaki berjaya turun dengan selamat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung rakaman tular mengenai pendaki yang terperangkap dalam cuaca buruk semasa aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu, baru-baru ini.

Dr Maklarin berkata, situasi yang dirakam dalam video tular tersebut berlaku pada 14 Oktober lalu.

Katanya, kejadian aliran air deras seumpama ini sering berlaku di Gunung Kinabalu terutama apabila hujan lebat.

“Demi keselamatan para pendaki, pendakian ke puncak gunung akan ditutup sekiranya hujan lebat atau cuaca buruk sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) Pendakian Gunung Kinabalu,” katanya.

Maklarin berkata, sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan Komunikasi Korporat Taman-Taman Sabah di talian 088-523531/572 atau emel ke hello@sabahparks.org.my.

Katanya, laluan aktiviti pendakian yang bermula dari Panalaban hingga ke puncak gunung ditutup hari ini (17 Oktober) dan ia disebabkan hujan turun pada seawal jam 1 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|