Semporna: Radius operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kedua mangsa bot karam di perairan Bohey, di sini, diperluaskan kepada 146 Kilometer (km) di sekitar perairan daerah ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Faisal Ahmad berkata, sehingga kini mangsa berusia 22 tahun itu masih belum ditemui.

Katanya, hari kedua SAR dijalankan melibatkan enam anggota dan pegawai bersama sebuah bot penyelamat.
“SAR turut dibantu pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Taman-Taman Sabah.

“Radius pencarian diluaskan kepada 146 km dengan jarak keseluruhan 70 km,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hari kedua pencarian bermula seawal jam 7 pagi dan melibatkan aset-aset penguatkuasa yang terlibat.
“Setakat ini mangsa masih belum ditemukan dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka