UMS johan Pertandingan Debat Antirasuah IPT

UMS johan Pertandingan Debat Antirasuah IPT

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul juara Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2022 yang berlangsung baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, platform debat itu merupakan saluran dalam menyuarakan pandangan bernas dan kritikan yang membina kepada usaha kerajaan dan SPRM dalam membanteras rasuah.

“Idea-idea para pendebat begitu penting dalam membantu kerajaan dan SPRM mencorak kanvas perjuangan antirasuah di dalam negara ini.

“Isu-isu semasa berkaitan rasuah yang seringkali dibangkitkan oleh warga maya berasaskan sumber-sumber yang tidak tepat boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap SPRM dan kerajaan dapat diubah dengan penganjuran program melibatkan mahasiswa seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Akhir Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2022 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

UMS telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 berserta piala pusingan, trofi dan sijil, manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang muncul sebagai Naib Juara menerima wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Pada pertandingan tersebut, pendebat UMS Nur Fatehah Nordie turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Pendebat Terbaik Akhir dengan menerima hadiah RM1,000, trofi dan sijil.

Sebanyak 36 pasukan mewakili 16 Universiti Awam, empat Universiti Swasta, tujuh Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan sembilan pasukan dari Institusi Pendidikan Mara (IPMa) bersaing dalam pertandingan itu.

Sementara itu, sambil menzahirkan ucapan tahniah, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian membanggakan buat seluruh warga kampus UMS.

“Kemahiran berdebat bukan sahaja mempamerkan kebolehan berkomunikasi tetapi juga menonjolkan sejauh mana seseorang itu mengetahui dengan tepat menggunakan ketajaman pemikiran mengenai sesuatu isu atau bahan perdebatan yang dibincangkan.

“Dengan kata lain, aktiviti debat adalah suatu aktiviti yang mempunyai impak tinggi kepada kematangann seseorang mahasiswa.

“Ia juga memberi insipirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk meneruskan kecemerlangan di dalam dan luar bidang akademik selain membuktikan bahawa universiti ini sentiasa melahirkan mahasiswa yang berdaya saing,” katanya.

-Deasoka

Share

Written by:

error: Content is protected !!