Berita AMT PBS sokong kerjasama dengan WARISAN tidak benar – Joniston

Berita AMT PBS sokong kerjasama dengan WARISAN tidak benar – Joniston

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini menafikan berita yang tular di media sosial sejak semalam mengenai dakwaan lebih separuh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu mahukan kerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN).

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai dalam satu kenyataan hari ini, berkata berita yang disiarkan sebuah blog itu adalah tidak benar.

Jelasnya, walaupun ada beberapa AMT PBS yang membangkitkan perkara itu pada Mesyuarat minggu lalu, namun tiada sesi undian diadakan untuk menentukan keputusan parti.

Katanya, prinsip pengurusan dan pembuatan keputusan di peringkat majlis tertinggi PBS adalah melalui resolusi sebulat suara, bukan proses undian.

“Malahan, kepimpinan PBS menegaskan untuk kekal dengan pendirian bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan kerjasama pemimpin dan rakyat tulin tempatan Sabah,” katanya.

Isu kerjasama di antara PBS dan WARISAN timbul selepas Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal beberapa kali mempelawa PBS untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun ditolak PBS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|