Bot kargo langgar syarat ditahan, rampas pelbagai barangan

Bot kargo langgar syarat ditahan, rampas pelbagai barangan

Tawau: Bot kargo yang sarat dengan muatan pelbagai barangan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana melanggar syarat pengangkutan barang di kedudukan 0.8 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau, di sini, malam semalam.

Tangkapan jam 9.30 malam oleh bot ronda Ops Sejahtera/Ops Cegah PATI turut menahan seorang tekong lelaki berusia 46 tahun.

Anggota Maritim Malaysia Tawau menunjukkan pelbagai barangan yang disita selepas menahan bot kargo di perairan Tawau. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, ketika menjalankan operasi berkenaan telah mengesan bot kargo yang bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati bot kargo itu dikendalikan tekong lelaki warga tempatan.

“Seterusnya pemeriksaan ke atas barangan mendapati bot kargo itu membawa hasil laut dan barangan runcit untuk dihantar kepada pemborong di Pulau Sebatik.

“Namun hasil dokumentasi gagal menemui deklarasi kargo yang dibawa dan ia melanggar peraturan-peraturan pengangkutan barang antara wilayah mengikut Akta Kastam 1967,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tekong dan bot serta muatan diiringi ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemerikaan dan siasatan lanjut.

“Hasil penggeledahan menyeluruh akhirnya menemui sejumlah 2,025 kilogram rumpai laut, 17 tong gas petroleum cecair (LPG), 306 kilogram minyak masak, 810 kilogram tepung gandum, 2,688 kilogram gula pasir, dan 120 karton minuman tin di dalam bot kargo berkenaan.

“Semus barangan termasuk bot kargo, enjin dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM44,000,” katanya.

Mengulas lanjut, V Siva berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan daerah ini ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|